USAHAWAN ECER TEMBUSI PASARAN GLOBAL DI CAEXPO 2024
Penyertaan strategik di CAEXPO 2024 memperkasa usahawan tempatan untuk berjaya di peringkat antarabangsa
NANNING, 30 SEPTEMBER 2024 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menampilkan usahawan tempatan di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-21, yang berlangsung di Nanning, China, dari 24 hingga 28 September 2024. Penyertaan enam usahawan dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mewakili pelbagai industri membuktikan peningkatan permintaan antarabangsa terhadap produk ECER, menandakan pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.
“ECERDC merupakan antara rakan strategik utama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi CAEXPO 2024. Platform seperti CAEXPO membolehkan kami memperkasakan usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa, menjadikan ECER sebagai pemacu utama dalam rantau ASEAN dan China,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
“Pasaran China menawarkan peluang yang luas dan ECERDC komited sepenuhnya dalam menyokong usahawan untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. CAEXPO memberikan peluang kepada usahawan ECER untuk menguji potensi produk mereka serta mempromosikannya di pasaran global,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.
Penyertaan ECERDC dalam CAEXPO juga selari dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, memperkukuh lagi komitmen ECERDC dalam menjalin kerjasama dan membantu usahawan tempatan untuk bersedia menghadapi cabaran pasaran di peringkat antarabangsa. Kejayaan usahawan ECER di CAEXPO bukan sahaja membuka peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa, malah dijangka memacu pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia di peringkat global.
Antara pencapaian utama CAEXPO pada tahun ini adalah Tokku Lekor Sdn Bhd, pengeluar keropok lekor terkemuka dari Terengganu, yang berjaya menembusi pasaran China. Ini menandakan pencapaian penting bagi syarikat tersebut, yang sedang beralih menjadi perniagaan di peringkat global.
“Peluang menembusi pasaran China telah mengubah landskap perniagaan kami. Sokongan ECERDC telah banyak membantu kami mengharungi cabaran perdagangan antarabangsa dan memenuhi permintaan di peringkat global. Kejayaan di China ini hanyalah permulaan, membuka ruang kepada kami untuk terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa,” kata Nurul Hana Nordin, pemilik Tokku Lekor Sdn. Bhd.
Usahawan ECER lain yang turut berjaya menembusi pasaran China dan turut meneroka lebih banyak peluang bagi perniagaan mereka termasuk Hamie Industries Sdn Bhd dari Marang, Terengganu, yang mengeluarkan produk kopi pra-campuran, serta Inforana Holdings Sdn Bhd dari Kuala Nerus, Terengganu, yang mengeluarkan makanan sedia untuk dimakan seperti nasi dagang, nasi lemak, serta pelbagai jenis sambal. Selain itu, TSI Food Industries Sdn Bhd dari Kota Bharu, Kelantan yang menawarkan pelbagai jenis snek dan kerepek, serta Yalijaya Utama Sdn Bhd dari Kuantan, Pahang, yang dikenali dengan produk sarang burung premium mereka. MISG Global Sdn Bhd, pengeluar kopi dari Machang, Kelantan, turut membuat penampilan pertama kali di CAEXPO 2024, membuka peluang pasaran antarabangsa mereka.
Bagi MISG Global Sdn Bhd, penyertaan di CAEXPO 2024 merupakan peluang yang dinantikan dalam pertumbuhan syarikat tersebut yang telah memberikan pendedahan berharga terhadap keutamaan pengguna, corak pasaran, serta prosedur untuk beroperasi dalam pasaran antarabangsa.
“Penyertaan dalam pameran antarabangsa sebesar CAEXPO merupakan pendedahan yang amat berharga. Sebagai usahawan dari bandar kecil seperti Machang, Kelantan, peluang ini adalah amat besar bagi kami di mana ia memberikan kami platform untuk mempamerkan produk kami di pentas antarabangsa, sesuatu yang kami anggap mustahil tanpa sokongan ECERDC,” kata Mohd Noorazlan Mustafa, pengasas MISG Global Sdn. Bhd.
Selain menyokong usahawan tempatan, ECERDC juga telah memanfaatkan CAEXPO 2024 sebagai platform untuk menarik pelaburan asing ke ECER dan turut mempromosikan peluang pelaburan dan kerjasama awam-swasta dengan pelabur berpotensi serta penglibatan dalam forum-forum utama juga terus membuka peluang baharu dalam sektor pertanian, pelancongan, dan pembuatan yang semakin berkembang di ECER.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Nadhirah Naaim
Eksekutif Kanan, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924
Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my