KUANTAN, 4 JULAI 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyambut ulang tahunnya yang ke-15 dengan asas yang kukuh dan terus komited dalam memastikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kekal sebagai sebuah destinasi pelaburan yang kompetitif.
Sejak penubuhannya pada tahun 2008, ECERDC telah menarik pelaburan komited bernilai RM162.3 bilion dan hampir RM80 bilion telah berjaya direalisasikan setakat ini.
“Selama saya menjadi Menteri Besar Pahang, saya telah menyaksikan usaha gigih ECERDC dalam menarik pelaburan ke negeri Pahang. Hasil kerjasama rapat antara Kerajaan Negeri dan ECERDC, pelaburan komited berjumlah RM93 bilion telah berjaya dibawa masuk ke Pahang dari tahun 2008 sehingga 2023. Saya menyeru ECERDC supaya meneruskan usaha membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi, membangunkan usahawan tempatan dan melatih tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan para pelabur. Sempena sambutan ulang tahun ke-15 ECERDC dan forum perniagaan Invest@ECER, saya mengalu-alukan para pelabur untuk meneroka peluang pelaburan di Pahang,” kata YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC dan pelancaran forum perniagaan Invest@ECER di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC).
Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata, ECERDC kekal fokus dalam menarik pelaburan baharu ke ECER dan negeri Pahang, dan forum perniagaan Invest@ECER yang julung kali diadakan di Pahang adalah salah satu daripada usaha ECERDC untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Sejak awal penubuhan, ECERDC menumpukan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan taman perindustrian bertema yang telah memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan ke Wilayah ini. Negeri Pahang hanya dua hingga tiga jam perjalanan dari pusat perniagaan di Pantai Barat dan penyiapan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada tahun 2027 akan menjadikan ECER, khususnya negeri Pahang, lebih dekat berbanding sebelum ini. ECERDC juga telah mencipta destinasi pelancongan “mesti lawat” yang bukan sahaja telah memacu pertumbuhan industri pelancongan di rantau ini, malah telah membawa limpahan manfaat kepada masyarakat dan usahawan tempatan,” tambah Dato’ Baidzawi.
Hadir sewaktu majlis pelancaran ialah YB Dato’ Indera Haji Zulkifli Bin Haji Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang; YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri; dan Puan Shariah Nelly Francis, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS.
Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC menampilkan forum perniagaan Invest@ECER, karnival kerjaya Career@ECER dan Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan untuk peserta program empower ECER dan entrepreneur ECER. Acara sehari yang diadakan di SASICC ini menghimpunkan rakan kongsi strategik ECERDC, para pelabur, usahawan dan peserta Program Pembangunan Modal Insan (HCD). Invest@ECER menampilkan penceramah ucaptama yang berkongsi tentang tawaran nilai dan peluang pelaburan di ECER dengan para jemputan termasuk pihak berkepentingan daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pemimpin industri, wakil-wakil Dewan Perniagaan, pelabur berpotensi dan ahli perniagaan manakala Career@ECER, yang diadakan dengan kerjasama PERKESO melalui MYFutureJobs dan pelabur ECER menawarkan lebih 1,200 peluang pekerjaan, termasuk lebih 300 jawatan berkemahiran tinggi kepada pencari kerja.
Dalam acara yang sama, 10 pelabur dalam pelbagai kategori akan mendapat pengiktirafan semasa majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC dan pelancaran Invest@ECER. Lawatan tapak ke taman perindustrian ECER di Pahang dan Pelabuhan Kuantan turut dianjurkan untuk para pelabur dari Lembah Klang selepas majlis sambutan.
Selain usaha menarik pelaburan, pembangunan modal insan kekal dalam agenda utama ECERDC. Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2010, program seperti empower ECER, entrepreneur ECER, dan Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) telah memberi manfaat kepada lebih 120,000 individu di ECER. Program empower ECER Latihan Akademik telah memberi impak positif kepada lebih 76,000 pelajar, manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan telah meningkatkan kemahiran hampir 26,000 peserta. Program entrepreneur ECER, yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM, Maybank dan Agrobank pula telah memberi manfaat kepada lebih 18,000 usahawan yang telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka.
Di Majlis Apresiasi, lebih 500 peserta empower ECER dan entrepreneur ECER dari Pahang yang berjaya menamatkan program telah dianugerahkan sijil tamat pengajian manakala majikan yang dikenal pasti telah menerima sijil penghargaan atas penglibatan mereka dalam program Reskilling and Upskilling (Train and Place). Program-program ini dijayakan dengan kerjasama Yayasan PETRONAS yang membiayai program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER. Penyelaras program-program ini di Pahang ialah SIRIM, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Selain itu, turut diadakan Pelancaran Program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (UMT) dan Program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER (SIRIM) bagi peringkat negeri Pahang.
“Berdasarkan asas kukuh yang telah dibina, ECERDC mensasarkan pelaburan dalam sektor baharu seperti pembuatan kenderaan rekreasi (RV) dan taman RV untuk mengambil peluang daripada pasaran RV yang semakin berkembang. Bagi menyokong aspirasi Kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, ECERDC juga menyasarkan pelaburan dalam teknologi hijau, kenderaan elektrik, teknologi digital dan sektor tenaga boleh diperbaharui. Satu lagi sektor tumpuan utama ECERDC ialah inisiatif sekuriti makanan di bawah agrofood@ECER untuk menggalakkan pertanian berskala komersial yang dipacu oleh kerjasama awam-swasta bagi menarik pelaburan baharu dalam sektor pertanian,” tambah Dato’ Baidzawi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri atas sokongan berterusan yang diberikan dan berterima kasih kepada agensi berkaitan terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Pahang, rakan kongsi strategik Pembangunan Modal Insan (HCD); Yayasan PETRONAS dan Yayasan MyKasih serta semua penyedia perkhidmatan HCD di Pahang seperti SIRIM, Agrobank, Maybank, UMP, UiTM, UniSZA, dan UMT.
TAMAT