SYNAPSE NETWORK SDN. BHD. BAKAL LABUR RM200 JUTA DI TAMAN TEKNOLOGI PAHANG (PTP) YANG DIBANGUNKAN OLEH ECERDC

Pusat Data Pertama di Wilayah ECER akan Direalisasikan oleh ECERDC

PUTRAJAYA, 10 APRIL 2023: Synapse Network Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pajakan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk tanah seluas 3 ekar bagi membangunkan sebuah pusat data di Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk memberi perkhidmatan di rantau ASEAN.

Synapse Network Sdn. Bhd. (SNSB), syarikat berdaftar di Malaysia yang berpangkalan di Toronto, yang menyediakan perkhidmatan pusat data inovatif untuk pasaran Amerika Utara dan infrastruktur IT kritikal bagi perniagaan global. SNSB diwakili oleh Presiden SNSB, Encik Benjamin Kong manakala ECERDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat dalam sebuah majlis yang diadakan di pejabat ECERDC di Putrajaya pada hari ini. Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SNSB, Encik Raymond Cheung dan Ketua Pegawai Operasi ECERDC, YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam.

“Perjanjian pajakan ini adalah pencapaian yang penting bagi ECERDC kerana ia merupakan langkah pertama ke arah mewujudkan pusat data yang pertama di PTP. Keputusan SNSB untuk mengembangkan operasinya di PTP akan menjadi pemangkin dalam ekosistem digital ECER dan akan membuka pintu kepada pelabur digital lain untuk melabur di rantau ini,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.

Pada Januari tahun ini, SNSB telah menandatangani surat tawaran untuk menerima pajakan tanah seluas 3 ekar di PTP untuk pembangunan pusat datanya semasa misi pelaburan ECERDC yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam ke Synapse Data Solutions Management, ibu pejabat SNSB di Toronto, Kanada.

Presiden SNSB, Encik Benjamin Kong berkata, pembangunan pusat data Synapse di PTP akan menyediakan pusat terdesentralisasi (decentralised centre) untuk teknologi digital dan web 3.0 (analitik data) untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan antarabangsanya seperti Kumpulan Alibaba, Dell dan IBM.

“Kami telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak ECERDC bagi membincangkan tentang keperluan SNSB untuk melabur di ECER, dan pihak ECERDC telah memudahcara semua permintaan SNSB. Saya gembira kerana hari ini, SNSB dapat memuktamadkan rundingan tanah dan kami berharap untuk memulakan operasi di PTP kelak,” tambah beliau.

PTP adalah pangkalan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), inisiatif strategik ECERDC dengan kerjasama TUM International GmbH (TUMInt), anak syarikat universiti terkemuka Jerman, Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich), untuk mempercepatkan penerimaan dan adaptasi I4.0, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan peluang keusahawanan di ECER.

“Dengan kemasukan Synapse ke PTP, kami berharap ia akan menjadi pemangkin dan menarik lebih banyak industri digital ke ECER. Pelaburan daripada Synapse akan mewujudkan 50 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam industri pusat data dan ini adalah selaras dengan aspirasi dan usaha ECERDC untuk mendorong adaptasi I4.0 di Wilayah ECER dan negara,” kata YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam.