ECERDC PACU INISIATIF UNTUK JAYAKAN MISI TERENGGANU CAPAI EKONOMI BERDAYA TAHAN DAN MAMPAN

KUALA TERENGGANU, 2 NOVEMBER 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyambut ulang tahunnya yang ke-15 di Terengganu dengan fokus untuk memacu peralihan ekonomi negeri Terengganu ke arah tenaga boleh baharu dan pelancongan mampan bagi memelihara alam sekitar dan memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Sejak penubuhannya pada tahun 2008, usaha konsisten ECERDC telah berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM28.1 bilion di Negeri Terengganu. Pelaburan ini telah mencipta lebih 43,000 peluang pekerjaan dan lebih 11,000 peluang keusahawanan untuk rakyat Terengganu.

ECERDC kini mengambil pendekatan bersepadu bagi memacu pertumbuhan pelaburan merentasi pelbagai sektor di Terengganu seiring dengan visi Kerajaan Negeri Terengganu untuk mencapai ekonomi mampan dengan mengurangkan kebergantungan kepada sektor Minyak, Gas dan Petrokimia (OGP).

 Ini termasuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan bernilai tinggi merentasi semua sektor termasuk tenaga hidrogen dan tenaga boleh baharu, pemprosesan bahan kimia hijau, bahan kimia khusus, sektor pembuatan, pelancongan mampan dan pertanian untuk memanfaatkan kekayaan sumber asli negeri Terengganu dan tawaran pelancongan yang pelbagai.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar dalam ucapannya sewaktu majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC di Hotel Permai, berkata, peralihan kepada tenaga boleh baharu boleh menjadi pemangkin perubahan kepada negeri Terengganu yang kini sedang giat melaksanakan program peralihan tenaga, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dengan memanfaatkan tenaga hidro dan tenaga solar. Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji untuk menggunakan hidrogen hijau sebagai salah satu sumber tenaga hijau.

“Sejak 15 tahun lalu, ECERDC telah menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri dengan menarik pelaburan berimpak tinggi dan melaksanakan projek infrastruktur strategik seperti pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu yang merangkumi Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang ikonik, Taman Biopolimer Kerteh dan mengukuhkan daya tarikan pulau-pulau di Terengganu. ECERDC kini sedang membangunkan Pelan Induk ECER 3.0 (EMP 3.0) untuk menggariskan perancangan pertumbuhan ECER hingga tahun 2030 dengan memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, bahan kimia hijau serta pelancongan mampan,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Hadir sama di majlis tersebut adalah YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; YB Mohd Khuzaini Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Industri dan Teknologi Hijau; YB Haji Hanafiah bin Mat, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar; YBrs. En. M Ahmad Shazly Ramly, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur; YBrs. Puan Rafidah Mokhdar, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan SIRIM Berhad dan YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC.

YAB Menteri Besar Terengganu berkata, untuk mempelbagaikan lagi sumber pendapatan Kerajaan Negeri Terengganu, kawasan perindustrian baharu di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dibangunkan. ECRL akan menyediakan ketersambungan yang diperlukan oleh industri baharu untuk menghantar produk ke destinasi tujuan. Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ECERDC dan Kerajaan Negeri Terengganu kini bekerjasama untuk mengenal pasti Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dan taman industri di enam (6) stesen ECRL di seluruh Negeri Terengganu yang akan mewujudkan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Kemuncak majlis sambutan ulang tahun tersebut adalah forum pelaburan bertajuk “Repowering Terengganu Towards a Sustainable Future” yang menampilkan ahli panel dari Gentari, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), TNB Renewables Sdn. Bhd. dan Nano Malaysia Berhad. Perbincangan berkisar tentang memperkasakan semula industri dengan tenaga boleh baharu, penghasilan produk hijau dan mampan serta penggunaan sumber secara lestari, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dan NETR.

Turut diadakan sesi khas bersama Profesor Madya Dr. Ruslinda A. Rahim, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan yang menyampaikan pembentangan mengenai topik Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen dan Teknologi.

Pada hari yang sama juga, telah diadakan forum pelancongan bersama ahli panel dari Invest Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dan Ikhasas Sdn. Bhd., salah satu pelabur ECERDC dalam sektor pelancongan. Forum tersebut telah membincangkan tentang pelancongan mampan dan peluang pelaburan di Terengganu. Sejak tahun 2018 sehingga kini, ECERDC telah menarik pelaburan swasta komited bernilai lebih RM756 juta dalam sektor pelancongan .

Di dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Terengganu turut menyeru para pelabur untuk mengambil peluang daripada pelbagai insentif yang ditawarkan dan melabur dalam sektor pertanian kerana ia akan membantu menangani isu keterjaminan makanan negara.

ECERDC telah menarik pelaburan swasta komited berjumlah lebih RM380 juta dalam sektor pertanian di Terengganu sejak 2018 sehingga kini. Terengganu kini menjadi tapak kepada ladang lada hitam komersial terbesar yang terletak di Rhu Tapai, Setiu, Merang, yang dijangka mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan untuk rakyat.

Sambutan ulang tahun yang diadakan di Hotel Permai ini telah menghimpunkan pemegang taruh utama ECERDC daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pemimpin industri, wakil Dewan Perniagaan, bakal pelabur, rakan strategik dan peserta program Pembangunan Modal Insan. Di majlis tersebut, tujuh (7) pelabur dalam pelbagai kategori telah mendapat anugerah dan ECERDC turut mengiktiraf sumbangan Yayasan PETRONAS, SIRIM, Agrobank dan Maybank sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan program pembangunan modal insan serta komitmen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai rakan pelaksana dan fasilitator program.

Pada majlis tersebut, 41 orang peserta program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran & Pembangunan Usahawan dan program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER telah menerima sijil penyertaan mereka. Program-program ini telah difasilitasi oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan SIRIM.