MENGHUBUNGKAN ANTARA SEMPADAN: PELUANG PERTUMBUHAN PELABURAN TERBUKA LUAS DI KELANTAN

ECERDC terus memangkin kepelbagaian ekonomi di Kelantan

KOTA BHARU, 3 DISEMBER 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyambut ulang tahunnya yang ke-15 di Kelantan dengan mengetengahkan peluang-peluang pertumbuhan yang wujud hasil daripada kesalinghubungan yang lebih baik dengan penyiapan infrastruktur logistik strategik di Wilayah Ekonomi Pantai Rimur (ECER) seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (dahulunya dikenali sebagai Jalan Central Spine), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sejak penubuhannya pada tahun 2008, usaha konsisten ECERDC dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya merealisasikan pelaburan sejumlah RM10.9 bilion di negeri Kelantan. Pelaburan ini telah mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dan lebih 2,000 peluang keusahawanan kepada rakyat Kelantan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud dalam ucapan perasmiannya di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC di H Elite Design Hotel, di Tunjong, Kota Bharu, menzahirkan aspirasi untuk meneruskan perancangan industrialiasi negeri dengan memanfaatkan penyiapan projek-projek logistik strategik ECER.

“Dengan ECERDC memainkan peranan penting dalam memangkin kepelbagaian ekonomi Kelantan, saya percaya bahawa penyiapan ECRL akan menjadi pencetus perubahan (game changer) yang akan meningkatkan perdagangan rentas sempadan. Saya ingin melihat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berkembang, berinovasi dan merebut peluang ini kerana ECRL akan meningkatkan pergerakan barangan melalui Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang ke Indo China, Eropah dan pasaran lain. Saya juga yakin Pakej Insentif Khas Kelantan menerusi ECER juga akan menyumbang ke arah menarik pelaburan baharu dan meningkatkan peluang perdagangan rentas sempadan, yang akan membantu Kelantan mencapai trajektori pertumbuhannya,” kata YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud.

Di bawah Pakej Insentif Khas Kelantan, para pelabur yang layak boleh menikmati kadar istimewa cukai pendapatan sebanyak 0% selama 15 tahun dan lanjutan cukai pendapatan selama lima tahun lagi pada kadar istimewa 17%. Pada masa yang sama, pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan dalam syarikat-syarikat yang termasuk di bawah inisiatif ini akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% sebagai insentif tambahan untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.

Kemuncak Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC di Kelantan ialah perbincangan panel bertajuk “Menghubungkan Antara Sempadan, Meraih Peluang, Lonjakan Seterusnya!” yang berkisar tentang usaha memajukan PMKS Kelantan ke peringkat seterusnya, iaitu peralihan daripada produk untuk pasaran tempatan ke pasaran global. Ahli panel turut membincangkan tentang peluang yang akan wujud hasil daripada penyiapan projek logistik strategik yang akan meningkatkan daya tarikan negeri Kelantan kepada pelabur dan PMKS tempatan untuk meluaskan pasaran produk mereka di luar sempadan negeri. Ahli panel terdiri daripada YBM Dato’ Dr Tengku Kaya Perkasa, Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan; Encik Saifuz Zaman Bin Aziz, Ketua Pengurusan Keretapi, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL); Encik Redziwan Bin Saari, Ketua Pegawai Eksekutif Ain Medicare dan Puan Hizramurny Zakaria, Ketua Wilayah Timur, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad dan perbincangan tersebut dikendalikan oleh YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC sebagai moderator.

“Pada masa ini, terdapat hampir 50,000 PMKS berdaftar di Kelantan, dengan kebanyakannya diklasifikasikan sebagai perusahaan mikro. ECERDC sedang membangunkan Pelan Induk ECER 3.0 (EMP 3.0) bagi merangka pelan pertumbuhan masa hadapan untuk negeri Kelantan, dan salah satu daripada fokus ECERDC ialah memodenkan ekosistem PMKS dan peralihan daripada sektor perkhidmatan kepada pembuatan produk bernilai tambah tinggi. Dengan penambahbaikan kesalinghubungan logistik, sinergi antara PKS Kelantan dan PKS dari Thailand boleh diwujudkan sekali gus membuka peluang baharu di rantau ini. Pada masa yang sama, penyiapan ECRL akan menghubungkan Tunjong ke Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang akan mengurangkan masa perjalanan dan membuka peluang baharu di sepanjang laluannya,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC pada majlis tersebut.

Majlis sambutan ulang tahun tersebut menghimpunkan pemegang taruh utama ECERDC daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, para pemimpin industri, bakal pelabur, rakan kongsi strategik serta peserta program Pembangunan Modal Insan (HCD). Hadir sama YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan; YB Dato’ Mejar (B) Haji Md Anizam bin Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan; YBM Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal (Tengku Kaya Perkasa), Pegawai Kewangan Negeri Kelantan; YBrs. Encik M Ahmad Shazly Ramly, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur; YBrs. Puan Rafidah Mokhdar, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan SIRIM Berhad dan YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC.

Selain menarik pelaburan ke Wilayah ECER, ECERDC sejak 15 tahun lalu juga telah menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri dengan melaksanakan projek-projek infrastruktur strategik seperti menaik taraf Loji Rawatan Air di Wakaf Bunut dan Kelar, projek pembangunan semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Seni, Laman Warisan Serunding dan pemindahan Masjid Kampung Laut. Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (Fasa 1A & 1B) akan memberi peluang kepada pelabur dan PKS untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pemprosesan ikan hiliran. Bagi menarik pelabur tempatan dan asing yang mencari peluang untuk mengembangkan perusahaan dalam pembuatan am dan produk pertanian hiliran dengan akses mudah ke Selatan Thailand, ECERDC juga akan membangunkan Taman Perindustrian Tok Bali (TBIP) yang dijangka bermula pada Disember 2023.

Pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Kelantan turut menyampaikan penghargaan kepada lima (5) pelabur ECERDC dalam pelbagai kategori dan mengiktiraf sumbangan Yayasan PETRONAS, SIRIM, Agrobank dan Maybank sebagai rakan strategik ECERDC dalam pelaksanaan program pembangunan modal insan, dan komitmen Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai penyedia perkhidmatan dan fasilitator program. Di majlis yang sama juga, 86 peserta Yayasan PETRONAS empower ECER program Latihan Kemahiran & Pembangunan Usahawan dan program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER menerima sijil penyertaan mereka.

Turut diadakan pada hari yang sama ialah pameran daripada peserta program entrepreneur ECER yang telah berjaya dan PKS Kelantan. Sejak program entrepreneur ECER diperkenalkan pada tahun 2011, lebih 7,600 usahawan sedia ada di Kelantan telah dibangunkan melalui pelbagai aktiviti dan program seperti pensijilan Halal dan MeSTI, penambahbaikan kualiti produk melalui pengukuhan penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan, serta pembiayaan melalui kerjasama dengan Agrobank dan Maybank.

“Kejayaan mereka boleh dikaitkan dengan semangat keusahawanan rakyat Kelantan yang kental. Oleh itu, tidak hairanlah 40% daripada 19,000 usahawan ECER yang dibangunkan oleh ECERDC adalah usahawan dari Kelantan. Para usahawan ini telah menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan mewujudkan kira-kira 18,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi.