ECERDC RAIH PELABURAN KOMITED BERJUMLAH RM1.4 BILION DI KELANTAN SETAKAT 31 OGOS 2023
Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) yang baharu siap buka peluang kepada usahawan PKS untuk libatkan diri dalam aktiviti perikanan hiliran
KOTA BHARU, 14 SEPTEMBER 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencapai pelaburan komited bernilai RM1.4 bilion dalam sektor pembuatan, perniagaan tani dan perkhidmatan di Kelantan setakat 31 Ogos 2023. Sebanyak 50.1% dari jumlah pelaburan ini adalah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, manakala baki 49.9% dari pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor perniagaan tani dan perkhidmatan.
ECERDC juga telah merealisasikan pelaburan dalam sektor perkhidmatan berjumlah RM270 juta setakat 31 Ogos 2023 yang akan menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat Kelantan.
“Saya percaya bahawa projek infrastruktur bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan seperti Lingkaran Tengah Utama dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang sedang dibina di bawah Kementerian Kerja Raya, serta kerja-kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra oleh Kementerian Pengangkutan akan meningkatkan potensi Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang ideal dan dapat mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri,” kata YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan yang baharu.
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob yang telah menerajui Kelantan sejak 6 Mei 2013 hingga 21 Jun 2023 atas jasa sumbangan beliau yang tidak ternilai sepanjang tempoh sedekad perkhidmatan beliau.
Selain usaha untuk meningkatkan daya tarikan negeri Kelantan kepada para pelabur menerusi pelaksanaan projek infrastruktur yang strategik, Kerajaan Persekutuan telah mengambil inisiatif melalui ECERDC untuk turut melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang bertujuan untuk menaik skala perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menarik pelaburan baharu dan memperkukuh perdagangan merentas sempadan.
“Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) Fasa 1B (Pakej 3) yang baru disiapkan ini bakal menyediakan peluang buat para pelabur dan usahawan PKS untuk menyertai aktiviti perikanan hiliran. ECERDC akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mempromosikan pelaburan masuk ke TBIFP,” ujar Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Dalam mesyuarat ICC kali ini, ahli- ahli ICC Kelantan turut dimaklumkan mengenai perancangan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3) serta inisiatif-inisiatif lain untuk memperkasakan tarikan pelancongan di Kelantan. Ini termasuklah pencalonan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Negara yang telah dimulakan oleh ECERDC pada Julai 2023 dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, serta projek pembangunan semula pasar terapung gaya Thai di Pulau Suri, Tumpat.
“Masjid Kampung Laut adalah kebanggaan rakyat Kelantan dan adalah menjadi hasrat ikhlas kami agar usaha pihak ECERDC untuk memastikan Masjid Kampung Laut mendapat pengiktirafan sebagai Monumen Warisan Negara ini bakal dimuktamadkan menjelang Oktober 2024 seperti yang dirancang,” tambah Dato’ Baidzawi.
Selain perbincangan mengenai status pelaburan dan projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan golongan B40 turut dibincangkan. Setakat ini, fasa pertama inisiatif IPR ini telah dilaksanakan di lapan (8) daerah di Kelantan dan ECERDC kini sedang mengenal pasti beberapa kawasan tanah sekitar Jeli, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang yang sesuai untuk perancangan projek fertigasi cili berskala komersial di bawah program IPR INTAN yang akan memanfaatkan Model Syarikat Induk.
Ahli-ahli ICC Kelantan juga diberi penerangan mengenai keseluruhan projek dan inisiatif ECERDC yang terkini, antaranya termasuk perkembangan Pelan Induk ECER 3.0 yang telah dibentangkan oleh ECERDC bersama PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC), cadangan projek lembah tenusu di Kelantan yang dijangka mampu meningkatkan pengeluaran susu segar negara seterusnya meletakkan Lojing sebagai lokasi pertanian tanah tinggi yang terkemuka.
TAMAT