Pelaburan strategik dalam sektor pembuatan dan pelancongan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi
KUALA TERENGGANU, 3 OKTOBER 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di Terengganu, dengan 98% daripada pelaburan ini disumbangkan oleh sektor pembuatan selain sektor pelancongan yang akan mewujudkan sehingga 5,356 peluang pekerjaan serta 102 peluang keusahawanan. Ini merupakan pencapaian penting bagi mencapai sasaran pelaburan Terengganu sebanyak RM4.2 bilion bagi tahun 2024, sekaligus mengukuhkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan ini.
ECERDC juga telah memperoleh pelaburan komited berjumlah RM1.7 bilion daripada sasaran RM5.8 bilion, dengan 59% daripada pelaburan ini disumbangkan oleh industri minyak dan gas dan sedang menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan berpotensi berjumlah RM12 bilion sehingga Ogos 2024, RM5 bilion telah disumbangkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Diversifikasi pelaburan ini merangkumi 77% dalam sektor pembuatan, 13% dalam sektor pelancongan, dan 10% dalam sektor minyak dan gas, yang akan meletakkan Terengganu dalam kedudukan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan agensi-agensi berkaitan adalah sangat penting untuk menarik pelaburan baharu. Projek seperti Projek Pemacu Ekonomi (EAP) memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan kementerian, agensi, dan sektor swasta, serta membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh. Dengan penggunaan rel sebagai pemacu utama pertumbuhan di Pantai Timur, EAP akan merangsang ekonomi setempat dengan meningkatkan trafik penumpang dan barangan di sepanjang laluan ECRL. Bandar-bandar kecil seperti Jertih, Dungun, dan Kerteh akan menerima manfaat besar daripada peningkatan keterhubungan rangkaian ini,” kata YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC)
Terengganu.
“Usaha ECERDC dalam mengekalkan daya saing Terengganu sebagai destinasi pelaburan utama merupakan usaha yang amat penting. Kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan agensi-agensi telah meningkatkan keyakinan pelabur, mendorong pertumbuhan ekonomi yang berterusan di kawasan ini. Projek infrastruktur utama seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama adalah penting dalam menghubungkan Terengganu dengan kawasan lain, secara signifikan meningkatkan logistik dan ekosistem ekonomi di peringkat nasional dan antarabangsa,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Turut hadir dalam mesyuarat ICC Terengganu adalah pegawai-pegawai utama termasuk YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Ishamudin bin Hashim, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan); YBrs. Tuan Haji Abdul Kahar bin Abdul Latif, Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu; YBrs. Dr. Abu Bakar bin Mat, Pengarah PLANMalaysia Terengganu; YBhg. Datin Rosni binti Mohd Yusoff, SUB Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun, Kementerian Kewangan, YBrs En. Ravikumar a/l Suppiah, Timbalan Pengarah, (Pembangunan Koridor), Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi dan YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
ECERDC juga telah melaporkan status projek empat tanjung buatan di Pantai Teluk Lipat, Dungun yang telah siap pada April 2024. Tanjung buatan ini berfungsi sebagai perlindungan pantai yang penting yang mempunyai potensi sebagai lokasi pembangunan pelancongan dan perniagaan. Di samping itu, projek paip pengagihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang siap pada September 2024 akan memastikan bekalan air yang mencukupi untuk kawasan industri serta manfaat kepada pengendali air Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU).
Dalam mesyuarat tersebut, Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu turut diberi taklimat mengenai pelbagai projek termasuk naik taraf jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) (KTAR 2), yang akan meningkatkan penghubungan dan menjadikan negeri ini lebih menarik kepada pelabur. Tambahan pula, projek perluasan Kompleks SME Kerteh Biopolymer Park (KBP) ke Fasa 1B dijangka akan menarik lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sekali gus menyumbang kepada pewujudan pekerjaan dan kelestarian ekonomi jangka panjang.
Selain projek infrastruktur, ECERDC juga melaporkan mengenai status program Reskilling & Upskilling (Train & Place) di mana 220 peserta telah berjaya menamatkan 13 kursus teknikal, dengan 97% telah memperoleh pekerjaan, dan 52% daripada peserta kini memperoleh pendapatan melebihi RM2,000 sebulan. Program-program seperti ini adalah kritikal untuk membekalkan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong kemasukan pelaburan seterusnya memastikan pembangunan mampan di negeri Terengganu.
ECERDC komited untuk memajukan landskap ekonomi Terengganu melalui pelaburan strategik dan kerjasama dengan rakan-rakan dari negeri, persekutuan, dan sektor swasta. Segala usaha ini, yang disokong oleh projek-projek infrastruktur utama dan tenaga kerja yang mahir, dijangka akan mengekalkan momentum negeri ke arah menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik di Malaysia.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Nadhirah Naaim
Eksekutif Kanan, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924
Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my