ECERDC REALISASI PELABURAN RM10.2 BILION, LEPASI SASARAN TAHUN 2024 DI PAHANG
Projek Bekalan Air dari Kemaman ke Gebeng dijangka Pacu Pertumbuhan Sektor Perindustrian di Gebeng
KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memacu pertumbuhan ekonomi di Pahang setelah melepasi sasaran pelaburan 2024 dengan merealisasikan pelaburan berjumlah RM10.2 billion mengatasi sasaran RM5.7 billion untuk tahun ini. Secara keseluruhan, 80% dari pelaburan ini disumbangkan oleh sektor pembuatan, diikuti oleh sektor minyak dan gas serta hartanah sekaligus menjana 3,342 peluang pekerjaan dan membuka 158 prospek keusahawanan. Kepelbagaian portfolio ini memperlihatkan usaha berterusan Pahang dalam memperkukuh sektor ekonominya sambil memanfaatkan kekuatan industri yang sedia ada.
“Projek bekalan air antara negeri sepanjang 29km dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang siap bakal menyokong keperluan industri di kawasan perindustrian sekitar sekaligus menarik lebih banyak pelaburan serta meningkatkan kecekapan operasi perniagaan di Gebeng. Tambahan pula, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada tahun 2027 dijangka meningkatkan kesalinghubungan, menjadikan Gebeng sebagai hab perindustrian yang bersedia untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” kata YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Pahang hari ini.
“Pahang komited dalam meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur dan ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahcara pelaburan baharu dalam memastikan pelaburan dapat direalisasikan. Kerajaan Negeri Pahang akan terus melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk mempercepatkan proses pelaburan sekaligus memacu pertumbuhan industri yang memberi manfaat kepada rakyat Pahang,” tambah YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah anggota ICC Pahang, termasuk YB Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; YH Dato’ Fadzilla bin Salleh, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang; YH Dato’ Ali Syahbana bin Sabaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YBrs. TPr. Nik Noraisu binti Nik Ibrahim, Pengarah
PLANMalaysia Pahang, YBhg. Datuk Bahria binti Mohd Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pelaburan) MITI, YBrs. Dr. Mohd Shaharin bin Umar, Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, YBrs. Dr. Nik Adi Sukiman bin Nik Ahmad Fauzi, Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Pemantauan Projek 1 dan Bajet, Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Cik Nor Aisyah binti M. Taifor, Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Unit Ekonomi, Kementerian Kewangan dan YBhg. Dato’ Baidzawi bin Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
“Dalam usaha ECERDC untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi di Pahang, kami komited untuk memperkukuh program latihan reskilling and upskilling bagi memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran teknikal yang selaras dengan keperluan industri. Inisiatif-inisiatif ini penting untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan, sekaligus memenuhi keperluan pelabur berpotensi yang mencari tenaga kerja yang mahir dan pantas menyesuaikan diri. Melalui program ini, bukan sahaja peluang pekerjaan yang mampan dapat diwujudkan, malah ia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini,” kata Ybhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
“Kami percaya bahawa dengan memperkasakan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat, Pahang akan menjadi destinasi yang lebih menarik untuk pelabur, terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi. Fokus terhadap peningkatan kemahiran ini akan menyumbang kepada ketahanan ekonomi jangka panjang wilayah ini selain memastikan negeri Pahang dapat bersaing di peringkat global,” tambah beliau.
Beberapa projek infrastruktur dan industri utama lain sedang dilaksanakan sekaligus bakal merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri Pahang. Antaranya adalah pembangunan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) Fasa 3 yang sedang dilaksanakan, dengan kerja tanah dan peningkatan infrastruktur dijangka siap pada 10 Julai 2025. Projek ini berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion menjelang tahun 2027.
Selain itu, projek menaiktaraf Bandar Diraja Pekan, termasuk pemulihan bangunan lama dan kawasan sekitarnya, dijadualkan siap pada 14 November 2024. Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan aktiviti pelancongan dengan bilangan pengunjung ke Pekan dijangka mencapai sehingga 400,000 orang menjelang tahun 2025. Selain itu, ECERDC kini sedang menaik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) di Cherating, Pahang, yang dijangka siap pada April 2025. Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan penyu dan mencapai sasaran seramai 120,000 pengunjung pada tahun 2025.
Ahli Jawatankuasa ICC Pahang turut diberikan taklimat mengenai projek menaiktaraf infrastruktur bagi kenderaan rekreasi (RV) di Pantai Hiburan Rompin, yang merangkumi kerja-kerja jalan luaran dan sambungan utiliti. Usaha ini bertujuan untuk merancakkan aktiviti sektor pelancongan Pahang dan meningkatkan aksesibiliti. Selain itu, Taman RV di Pantai Hiburan Rompin akan menambah nilai bagi penganjuran acara tahunan seperti Festival Rompin dan Royal Pahang Billfish International Challenge dan dijangka menjadi salah satu destinasi utama taman RV yang sedang dibangunkan di seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Nadhirah Naaim
Eksekutif Kanan, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924
Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my