ECERDC REALISASI RM 1.4 BILION PELABURAN DI PAHANG PADA SUKU PERTAMA 2025, DIPACU OLEH SEKTOR PEMBUATAN

Kerjasama Strategik IPR-INTAN Perkukuh Industri Agro dan Keterjaminan Makanan 

KUANTAN, 10 APRIL 2025 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi Pahang dengan merealisasikan pelaburan bernilai RM1.4 bilion pada suku pertama 2025 (1Q2025). Jumlah ini mewakili 25% daripada sasaran pelaburan tahunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebanyak RM5.6 bilion untuk negeri Pahang, sekali gus meneguhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan mampan yang semakin mendapat keyakinan pelabur. 

Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama pada 1Q2025, merangkumi 53% daripada jumlah pelaburan, diikuti oleh sektor minyak dan gas sebanyak 45%, yang tertumpu pada pembangunan fasiliti bahan kimia. Sektor perkhidmatan pula menyumbang baki 2% menerusi projek-projek tenaga boleh diperbaharui termasuk loji mini hidro dan biomass, selaras dengan agenda pertumbuhan hijau negara dan sekali gus melengkapi ekosistem pelaburan yang lebih pelbagai dan seimbang. 

“Pencapaian ini jelas membuktikan daya tarikan Negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan yang strategik, terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi serta industri minyak dan gas. Pelaburan-pelaburan ini turut berjaya menjana lebih 700 peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” kata YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Pahang yang diadakan hari ini.  

Sejajar dengan inisiatif memperkukuh pembangunan sektor pelancongan negeri, dua projek infrastruktur utama telah berjaya disiapkan bagi meningkatkan potensi pelancongan berasaskan ekologi dan warisan di Pahang. Usaha ini merangkumi projek penaiktarafan Bandar Pekan Lama yang telah disiapkan pada 22 Disember 2024, serta projek penambahbaikan Pusat Konservasi & Penerangan Penyu di Cherating yang telah siap pada 8 April 2025. Kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen berterusan ECERDC dalam memperkukuh aset budaya dan ekologi demi menyokong pelancongan yang mampan. 

“Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberikan sokongan padu dan memudah cara pelaksanaan pelaburan strategik yang bukan sahaja berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta memastikan pembangunan industri yang mampan untuk jangka masa panjang,” tambah YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.  

Dalam perkembangan berkaitan, ECERDC telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) bagi melaksanakan sebuah program berimpak tinggi yang bertujuan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan miskin tegar. Kerjasama ini melibatkan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) di daerah Jerantut dan Lipis, yang akan memperluas pengurusan pertanian moden di kawasan luar bandar.   

Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, bersama YB Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YBrs. Puan Zaiton Yahaya, Pengarah Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi dan YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC.   

Projek ini akan dilaksanakan oleh PASFA selaku syarikat induk di atas tanah milik kerajaan negeri, meliputi kawasan seluas 18.35 ekar di Jerantut dan 17.36 ekar di Lipis. Penanaman cili bagi projek ini akan menggunakan sistem fertigasi pintar, yang akan dijalankan di kedua-dua lokasi dengan penglibatan seramai 30 peserta di setiap lokasi. Inisiatif ini dijadualkan bermula pada bulan Mei 2025 dan dijangka mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM2,000 bagi setiap peserta.  

“IPR-INTAN merupakan satu inisiatif penting yang sejajar dengan usaha Kementerian Ekonomi dan ECERDC dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta memajukan sektor pertanian mampan. Melalui penerapan teknologi moden dan kerjasama strategik bersama sektor swasta yang berkeupayaan, program ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan pengeluaran makanan, malah turut memastikan pendapatan bulanan yang stabil untuk peserta, sekali gus membantu menangani isu kemiskinan secara holistik,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.  

Di bawah pelaksanaan IPR-INTAN di negeri Pahang, ECERDC juga akan menerajui pelaksanaan projek pertanian berskala besar yang merangkumi tujuh daerah, iaitu Jerantut, Lipis, Temerloh, Bentong, Pekan, Bera dan Raub. Projek ini melibatkan kawasan hampir 1,000 ekar tanah dan penyertaan kira-kira 1,000 orang peserta, yang akan dilaksanakan secara berfasa menjelang akhir tahun 2025.  

Pelaksanaan program berskala besar ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan syarikat swasta yang dilantik untuk menerajui projek pertanian berimpak tinggi di atas tanah milik kerajaan atau swasta. Setiap peserta akan menerima latihan khusus serta jaminan pendapatan bulanan yang stabil, sebagai usaha memperkukuh kelangsungan projek dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat. 

Dengan pencapaian merealisasikan pelaburan bernilai RM1.4 bilion, pelaksanaan inisiatif perniagaan tani, serta penyiapan beberapa projek pelancongan utama, ECERDC terus memacu transformasi ekonomi Negeri Pahang ke arah pembangunan industri dan luar bandar yang progresif. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan ECERDC dalam membangunkan wilayah secara inklusif dan mampan, sekali gus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negara. 

-TAMAT-

MENGENAI ECER AND ECERDC 

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER. 

 Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti. 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:  

Fatin Rasyiqah Mustaza    
Pengurus, Perhubungan Media   
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)    
Tel: 03-8885 0166 / 012-5881127    

Emel: fatinrasyiqah@ecerdc.com.my