ECERDC TARIK RM2.6 BILION PELABURAN KOMITED DALAM SEKTOR PEMBUATAN DAN PERTANIAN DI SEGAMAT DAN MERSING, PACU POTENSI PELANCONGAN

PUTRAJAYA, 24 APRIL 2025 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM2.6 bilion ke daerah Segamat dan Mersing di Johor dalam suku pertama tahun 2025. Pelaburan ini  telah dipacu oleh pembangunan strategik dalam sektor pembuatan, khususnya tenaga boleh baharu,  yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi di kedua-dua daerah tersebut.

ECERDC turut giat membangun Segamat dan Mersing untuk dibentuk sebagai hab pengeluaran makanan, dengan menarik pelaburan serta melaksanakan inisiatif berfokus dalam sektor pertanian, perikanan dan tenusu, untuk memperkukuh peranan Johor dalam agenda sekuriti makanan negara. Mersing pula turut dibangunkan sebagai sebuah lokasi pengenalan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi dan kepulauan, disokong oleh penaiktarafan infrastruktur dan inisiatif eko-pelancongan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehcapaiandan pengalaman pelawat.

Antara projek utama di Segamat termasuklah pembinaan loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 860MW di atas tanah seluas 1,700 ekar, menjadikannya salah satu projek tenaga boleh baharu yang terbesar di rantau ini. Selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, projek ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda  negara terhadap pembangunan rendah karbon. Manakala, Segamat pula akan dibangunkan dengan kemudahan biomass yang menukar Empty Fruit Bunches kepada pelet bahan api sawit, untuk menyokong penggunaan lestari melalui sisa pertanian serta menyumbang kepada ekonomi kitaran.

Di Mersing, pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) menjadi salah satu pemangkin utama kepada agenda sekuriti makanan negara. Sehingga Mac 2025, projek hab tenusu moden bersepadu ini telah mencapai 93% kemajuan dan dijangka untuk siap sepenuhnya pada bulan Jun 2025. Setelah beroperasi, JDV dijangka meningkatkan pengeluaran susu tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan membuka peluang pekerjaan baharu.

Pembangunan infrastruktur berkaitan dengan pelancongan di daerah ini juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Antara projek utama termasuklah Peta Rainforest Discovery Centre , penaiktarafan jalan ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, penyiapan jeti Pulau Pemanggil, serta pembinaan Pusat Maklumat dan Khidmat di Taman Laut Sultan Iskandar di Pulau Besar. Usaha pembangunan ini dijangka untuk meningkatkan kebolehcapaian, membuka peluang pelancongan baharu dan menyokong kepelbagaian ekonomi tempatan.

Pelaburan di Segamat pula adalah dalam sektor pembuatan produk plastik dan pembungkusan, kilang pemprosesan kelapa bersepadu, serta ladang penternakan ayam baka yang dilengkapi dengan teknologi Smart Farm: broiler farm. Pelaburan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan berasaskan luar bandar yang menyokong sekuriti makanan dan tenaga negara.

“Pencapaian ini amat memberangsangkan untuk Segamat dan Mersing. Dengan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri, MIDA dan ECERDC, kami yakin bahawa lebih banyak pelaburan berimpak tinggi akan dapat diperoleh untuk mempertingkatkan pembangunan ekonomi di kedua-dua daerah ini. Usaha ini juga selari dengan Rancangan Pembangunan ECER di bawah RMK-13 yang menyasarkan sumbangan KDNK berjumlah RM13 bilion menjelang 2030,” kata YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Johor pertama tahun 2025 di Putrajaya.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memacu pembangunan mampan dan berinovasi di Segamat dan Mersing merentasi semua sektor ekonomi, bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti, merangsang pembangunan ekonom ijangka panjang, serta memperkukuh landskap perindustrian negeri Johor.

“Sektor pertanian kekal sebagai teras utama dalam strategi ECERDC dalam menjana pembangunan mampan dan inklusif di Mersing dan Segamat. Inisiatif seperti JDV di Mersing dan Program Usahawan Tani – Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INTAN) yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi di Segamat membuktikan komitmen kami dalam memperkukuh ekosistem agro-makanan negara, memperkasa komuniti luar bandar dan mencipta peluang ekonomi baharu. Dengan mengintegrasikan infrastruktur pertanian moden, aktiviti hiliran nilai tambah dan amalan pertanian pintar, kami akan terus mengusahakan pembangunan ekonomi luar bandar yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, sejajar dengan agenda sekuriti makanan negara,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Antara sebahagian daripada usaha tersebut, ECERDC telah memeterai kerjasama strategik bersama Pejabat Daerah Segamat dan CSC Plantation Sdn. Bhd. untuk melaksanakan program Tanaman Secara Fertigasi selama 10 tahun di bawah program IPR-INTAN. Projek ini akan dijalankan di tapak seluas 20 ekar di Agro Mix Farm 3 dan melibatkan penyertaan 42 peserta dari golongan B40 dalam penanaman cili dan rock melon dengan menggunakan teknologi pintar (IoT). Usaha ini dijangka dapat meningkatkan produktiviti pertanian luar bandar dan menjana pendapatan tetap sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap peserta.

Mesyuarat ICC ECER Johor turut dihadiri oleh barisan pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah bin Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YBrs Tuan Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali, Pengarah Tanah dan Galian Johor; YBrs Dr. Mohd Khalid bin Abdul Samad, Pengarah Pembangunan Negeri Johor; YBrs TPr Saidin bin Lateh, Pengarah PLANMalaysia@Johor; YBrs Tuan Haji Mohd Ezzudin bin Sanusi, Pegawai Daerah Segamat; dan YBrs Encik Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing.

-TAMAT-

MENGENAI ECER AND ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.

Meliputi keluasan lebih 69,000 kilometer persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan tempat tinggal bagi lebih 5 juta penduduk, iaitu kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di wilayah ini dipacu oleh empat teras strategik—Bakul Makanan, Destinasi Pelancongan, Pembuatan, dan Industri Marin—yang disokong oleh kemajuan dalam bidang logistik, infrastruktur, hartanah, dan kelestarian alam sekitar, menjadikan ECER destinasi pilihan untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Fatin Rasyiqah Mustaza
Pengurus, Perhubungan Media 
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)  

Tel: 03-8885 0166 / 012-5881127  
Emel: fatinrasyiqah@ecerdc.com.my