ECERDC REALISASI RM2.4 BILION PELABURAN DI TERENGGANU SETAKAT SUKU PERTAMA 2024

Penyerahan Surau Al-Ikhwan dan Tabika Teluk Ketapang di lokasi projek pembinaan Jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke KTCC (KTAR 2)

KUALA TERENGGANU, 24 MAC 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah merealisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion dalam sektor pembuatan besi dan keluli, penanaman napier, kilang pulpa dan bekas makanan yang akan membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu setakat Mac 2024. Pelaburan ini adalah 57% daripada sasaran pelaburan direalisasikan yang bernilai RM4.2 bilion untuk negeri Terengganu pada tahun 2024.

ECERDC juga telah berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac 2024. Sebanyak 65% adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari negara Jepun sebanyak RM660 juta.

“Melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, saya percaya, ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi. Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” kata Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu.

Turut hadir di mesyuarat ICC Terengganu adalah YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Ishamudin bin Hashim, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu; YBhg. Datuk Jazmanie bin Shafawi, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata, beliau yakin bahawa peranan yang dimainkan oleh ECERDC sebagai one-stop agency yang memberikan khidmat memudahcara pelaburan secara “end-to-end” adalah penting dalam merealisasikan pelaburan dan membuka pintu kepada aktiviti-aktiviti ekonomi di negeri Terengganu.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ECERDC untuk menarik pelaburan baharu termasuk sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau dan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) komitmen kerjasama dalam pembangunan, promosi dan penggunaan Tenaga Boleh Baharu di ECER bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China.

Dalam majlis berasingan yang berlangsung sebelum Mesyuarat ICC Terengganu, pada malam 23 Mac 2024, ECERDC telah menyerahkan Surau Al-Ikhwan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Tabika Teluk Ketapang kepada pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang disusuli dengan majlis berbuka puasa bersama masyarakat tempatan. Pembinaan surau dan tabika ini adalah sebahagian daripada projek Jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke KTCC (KTAR 2) yang telah mencapai kemajuan 37% setakat Februari 2024. Penyerahan ini telah disaksikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPENT) YBhg. Dato’ Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak.

Antara topik lain yang dibincangkan selain pencapaian dan aktiviti pelaburan bagi negeri Terengganu dalam mesyuarat tersebut adalah pembangunan industri Kenderaan Rekreasi (Recreational Vehicle atau RV), dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab RV di Asia Pasifik menjelang tahun 2025. Ini termasuk pembangunan infrastruktur luaran dan kemudahan asas di tapak taman RV. ECERDC juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi berpotensi untuk dimajukan sebagai taman RV di Terengganu.

Dalam mesyuarat tersebut, Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu juga diberikan taklimat berkenaan projek pembangunan Promenad KTCC Fasa 1, pembinaan tanjung buatan di Pantai Teluk Lipat, Dungun, pembinaan paip agihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang (Pakej 2), Kompleks SME Fasa 1B dan Fasa 4A Taman Biopolimer Kerteh (KBP) serta perancangan Pakej 2 KBP.

Selain itu, ECERDC telah melaporkan status Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) BMT di mana  ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak swasta, NGO, Universiti Awam & komuniti setempat telah menumpukan kepada pengupayaan golongan termiskin untuk meningkatkan potensi pendapatan 186 ketua isi rumah melalui 40 program yang sedang dilaksanakan di Terengganu.

Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu juga dimaklumkan berkenaan status pelaksanaan projek fertigasi cili agrofood@ECER yang mensasarkan pengeluaran sebanyak 6,210 tan metrik setahun menjelang 2030 serta pelaksanaan projek penanaman keledek IPR-INTAN di Kg. Banggol & Kg. Saujana, Setiu yang melibatkan 75 orang penduduk tempatan golongan miskin tegar dan B40 dilaksanakan oleh Pejabat Daerah & Tanah (PDT) Setiu.

TAMAT

Mengenai ECER dan ECERDC

 

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke dalam Wilayah. ECERDC yang ditubuhkan pada 13 Jun 2008, menyambut ulang tahunnya yang  ke-15 pada tahun 2023.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 4.8 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.