Program fertigasi cili Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk komuniti B40 di Segamat berjaya hasilkan tuaian pertama
SEGAMAT , 18 FEBRUARI 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Segamat (PDS) telah menganjurkan majlis “Jom Tuai Cili” buat julung kalinya bagi meraikan kejayaan program kecil berimpak tinggi yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan yang telah mencapai peringkat penuaian kitaran pertama di tapak projek fertigasi cili ECERDC, Ladang Agromix, PTD 739, Mukim Sermin, Segamat di bawah Lot 6619 milik negeri Johor di sini hari ini.
Hadir dalam majlis tersebut adalah Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor, YB Dato’ Zahari Sarip, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat serta tetamu-tetamu kehormat daripada Kementerian Ekonomi, Pejabat Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Daerah Segamat, Jabatan Pertanian Negeri Johor, Pejabat Penerangan Segamat, Jabatan Kerja Raya Segamat serta agensi-agensi lain yang turut terlibat dalam program fertigasi cili ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor, YB Dato’ Zahari Sarip dalam ucapannya berkata, negeri Johor berpotensi besar menjadi pengeluar utama cili bagi menampung keperluan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import cili dan kerjasama seperti ini amat digalakkan kerana ianya akan membantu para petani bukan sahaja dari segi pendedahan teknologi pertanian, tetapi juga mengembangkan kaedah atau teknik baharu untuk bertani di Malaysia untuk mengukuhkan lagi keterjaminan makanan negara.
Inisiatif penanaman cili menggunakan aplikasi teknologi pintar (IoT) tersebut adalah hasil kerjasama ECERDC dengan Grasicili Farm Sdn. Bhd. (GCFSB) bermatlamat membangunkan kemahiran hidup dan penjanaan pendapatan masyarakat B40 di Segamat, Johor dengan menerapkan elemen teknologi dalam projek fertigasi cili.
Projek ini dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun melibatkan dua (2) kitaran setiap tahun. Menerusi program ini, 10 pekerja golongan B40 diambil bekerja dengan pendapatan bulanan lebih kurang RM2,000 setiap seorang. Di samping itu, para pekerja akan diberikan bonus melalui keuntungan yang dijana daripada jualan yang dibayar setiap bulan sebagai tambahan kepada gaji tetap bermula dari kitaran kedua tahun pertama sebaik sahaja program ini mula menjana pendapatan.
Pada akhir tempoh program, pekerja yang berpotensi boleh membuat keputusan sama ada terus bekerja di bawah program atau menjadi usahawan atas inisiatif mereka sendiri dan mendapatkan tanah bagi melaksanakan program tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat dalam ucapannya telah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi kerana telah menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan program tersebut yang telah membolehkan para peserta daripada golongan B40 di Segamat mendapat pendapatan RM2,000 sejak bulan Oktober 2023.
“ECERDC juga amat menghargai sokongan yang telah diberikan oleh Pejabat Daerah Segamat, Jabatan Pertanian Daerah Segamat dan Jabatan Pertanian Johor serta kerjasama rapat dengan ECERDC bagi memastikan kejayaan projek ini. Tuaian hari ni membuktikan ada banyak model ekonomi yang boleh diguna pakai bukan sahaja untuk membantu golongan B40 dan miskin tegar, malah pada masa yang sama boleh menyumbang kepada agenda nasional iaitu menyokong usaha bagi mengukuhkan keterjaminan makanan negara,” kata Dato’ Baidzawi.
Tambah Dato’ Baidzawi lagi, ECERDC juga berharap agar GCFSB sebagai ejen pelaksana projek dapat memastikan kitaran tuaian akan berterusan dan projek kekal mampan seterusnya menjadi pencetus pelaksanaan projek-projek pertanian lain yang dapat membantu masyarakat B40 dan miskin tegar untuk menjana pendapatan yang stabil sekaligus mengukuhkan pembangunan sosio-ekonomi komuniti setempat.
Selain di Segamat, projek ini telah mula dilaksanakan di Bachok, Kelantan pada bulan Januari 2024 dan akan bermula di Pekan, Pahang, pada bulan Mac 2024. ECERDC juga sedang mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai di lokasi-lokasi lain di seluruh ECER untuk pelaksanaan projek berskala besar.
Tanaman cili adalah tanaman yang bernilai tinggi untuk diusahakan kerana ia adalah salah satu daripada sayuran-sayuran dan buah-buahan yang belum mencapai 100 peratus Kadar Sara Diri (SSR) bagi tahun 2022 iaitu hanya 29.7%. Hala tuju subsektor tanaman nasional telah dirangka dengan memberi keutamaan bagi meningkatkan hasil tanaman yang belum mencapai SSR 100 bagi menjamin agenda sekuriti makanan negara.