800 peserta bakal terima manfaat daripada pelancaran program Yayasan PETRONAS empower ECER dan Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER
KOTA BHARU, 9 MAC 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM3 bilion dalam pelaburan komited ke Kelantan tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perniagaan tani, pembuatan, dan tenaga yang dijangka akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan untuk rakyat di Kelantan.
Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Haji Ahmad Yakob, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan memuji usaha ECERDC dalam mengekalkan momentum pelaburan ke negeri Kelantan dan yakin lebih ramai pelabur akan mengambil peluang untuk melabur dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan yang telah dipromosikan secara meluas oleh ECERDC sejak dua tahun lalu.
Di bawah Pakej Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak boleh menikmati kadar cukai pendapatan 0% selama 15 tahun dan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17%. Selain itu, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan utama dalam syarikat yang termasuk di bawah inisiatif ini hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% sebagai insentif tambahan untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai sebuah destinasi pelaburan.
“Sehingga Februari 2023, ECERDC telah mencapai RM1.1 bilion dalam pelaburan komited dan saya yakin ECERDC akan dapat mencapai sasaran pelaburan untuk tahun ini. Saya juga percaya ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pertanian ke Kelantan dan ini mampu menyokong agenda keterjaminan makanan Kerajaan,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat ICC Kelantan.
Pada mesyuarat ICC Kelantan, ahli jawatankuasa ICC turut diberi penerangan mengenai inisiatif ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan untuk mendaftarkan Masjid Kampung Laut, yang berjaya dipindahkan dari Nilam Puri ke Kampung Laut tahun lepas sebagai Monumen Warisan Negara. Mereka juga mendengar tentang projek-projek yang sedang dilaksanakan, termasuk Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (Pakej 3), yang dijangka siap pada akhir bulan
April 2023. Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali akan membuka peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran perikanan.
Selepas mesyuarat ICC, Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan telah menghadiri Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER Negeri Kelantan yang diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan SIRIM yang menyaksikan konvokesyen lebih 730 peserta program pembangunan modal insanECERDCyangtelahberjayamenamatkan kursus.AhliJawatankuasaICCKelantan turut menyaksikan YAB Menteri Besar Kelantan melancarkan Program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (Sesi 2022-2024) bersama UiTM dan USM serta program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER bersama SIRIM.
Program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan akan dikendalikan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang untuk 800 peserta daripada komuniti B40. Program ini menyasarkan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan membangunkan usahawan baharu manakala program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER yang dikendalikan oleh SIRIM akan melatih 45 usahawan PKS di Kelantan dalam meningkatkan kualiti produk, pembungkusan dan penjenamaan.
Pada majlis yang sama, Menteri Besar Kelantan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECERDC dan Majlis Daerah Bachok untuk program pembangunan modal insan yang bakal dilaksanakan di daerah tersebut.