ECERDC TETAPKAN SASARAN PELABURAN SEBANYAK RM1.8B UNTUK KELANTAN PADA TAHUN 2022

Sektor pembuatan dan sumber tenaga boleh diperbaharui bakal menjadi penyumbang utama bagi Negeri Kelantan

KOTA BHARU, KELANTAN, 10 APRIL 2022: ECERDC optimis dapat mencapai sasaran pelaburan lebih tinggi iaitu sebanyak RM1.8 bilion bagi negeri Kelantan pada tahun 2022 yang dijangka bakal mewujudkan lebih daripada 1,200 pekerjaan baharu dan lebih 300 peluang keusahawanan. Sehingga 31 Mac 2022, ECERDC telah pun menarik pelaburan komited berjumlah RM990 juta ke negeri Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Bin Yakob, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan, berkata, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan, Negeri dan ECERDC telah memperkukuh daya saing negeri sebagai destinasi pelaburan dan turut menggesa ECERDC agar mempergiatkan lagi aktiviti promosi pelaburan bagi menarik Pelaburan Langsuing Domestik (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negeri ini, terutamanya selepas pembukaan sempadan antarabangsa negara.

YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata, ECERDC yakin sasaran ini dapat dicapai lebih-lebih lagi dengan adanya pakej insentif cukai khas Kelantan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Di bawah Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati 100% pengecualian cukai pendapatan selama 15 tahun dengan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17%. Bagi pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan, mereka hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% sebagai insentif tambahan untuk menarik FDI ke Kelantan.

Selain itu, di bawah pelan transformasi Tok Bali, ECERDC akan memanjangkan dan menaik taraf jeti pendaratan ikan sedia ada bagi membolehkan kapal moden berlabuh bersama bot nelayan tradisional. Ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan aktiviti hiliran di kawasan tersebut seperti pemprosesan ikan, ikan beku dan otoshimi.

Dalam kata-kata aluan di Mesyuarat ICC Kelantan, YAB Menteri Besar Kelantan turut memuji ECERDC atas penyiapan projek Laman Warisan Kampung Laut baru-baru ini, yang turut merangkumi pemindahan Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri. Beliau berkata, projek seterusnya yang dinantikan ialah permulaan pembinaan Jambatan Palekbang yang akan melengkapi Laman Warisan Kampung Laut dan Kota Bharu Promenade sebagai pembangunan bersepadu yang berasaskan pelancongan.

Ahli mesyuarat ICC Kelantan juga diberi taklimat mengenai rancangan ECERDC untuk membangunkan pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV) di ECER, di mana, Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang telah dikenal pasti sebagai tapak perintis untuk Taman RV di Kelantan.

Sementara itu, pada tahun 2022, di bawah program Pembangunan Modal Insan, ECERDC turut menyasarkan untuk melatih seramai 2,000 pelajar di 50 buah sekolah menerusi Program Latihan Akademik empower ECER, manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih seramai 627 peserta di Kelantan dengan sokongan Yayasan PETRONAS.

ECERDC kekal teguh menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik baru-baru ini. Sehingga kini, 1,029 peserta telah dilatih di Kelantan dan 87% telah memperoleh pekerjaan dengan purata pendapatan RM2,300 sebulan. Pada tahun ini juga, seramai 410 peserta lagi akan dilatih di bawah program yang sama. Sementara itu, program ACES-ECER Jobs Train & Place telah pun melatih seramai 466 peserta di Kelantan dan daripada jumlah ini 395 peserta telah bekerja dalam industri ICT.

Majlis Berbuka Puasa Pra-ICC di Laman Warisan Seni

Pada hari Sabtu, sebelum mesyuarat ICC Kelantan, ECERDC juga telah mengedarkan Bingkisan Ramadan kepada 70 buah keluarga yang tinggal di sekitar Masjid Kampung Laut. Ini kemudiannya telah diikuti oleh lawatan YAB Menteri Besar Kelantan dan ahli mesyuarat ICC untuk meninjau Masjid Kampung Laut dan Laman Warisan Seni yang baharu siap dibina. Pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Kelantan turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada warga kerja ECERDC kepada 30 keluarga kurang berkemampuan di Kampung Laut oleh YBhg. Dato’ Baidzawi sebelum menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh ECERDC.