empower ECER TINGKATKAN KEHIDUPAN KOMUNITI LUAR BANDAR

MACHANG, KELANTAN, 23 JULAI 2017: Masyarakat tempatan, terutamanya golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di Machang, Kelantan, telah mendapat manfaat daripada empower ECER, sebuah program pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak 2016 untuk meningkatkan kemahiran dan taraf hidup rakyat.

Sehingga kini, Program Latihan Akademik empower ECER yang dilaksanakan oleh ECERDC di Machang telah memberi manfaat kepada 600 pelajar kurang cemerlang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Malah, program tersebut telah mencatatkan peningkatan sebanyak 82%, 73% dan 76% dari segi pencapaian akademik di kalangan 300 pelajar perintis yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Sementara itu, di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, 200 peserta dewasa, kebanyakannya dari kategori B40, telah diberi peluang untuk menyertai kelas-kelas vokasional percuma seperti bakeri dan kulinari, jahitan, serta penyelenggaraan penghawa dingin untuk kenderaan, yang akan menjadi platform untuk meningkatkan pendapatan mereka dengan menjadi usahawan setelah tamat kursus masing-masing.

“Kesejahteraan Rakyat memang sentiasa didahulukan dalam inisiatif-inisiatif transformasi kami.  Program-program ini telah dirangka untuk memberi manfaat kepada Rakyat daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi secara inklusif dan holistik, terutamanya kumpulan B40 dari komuniti luar bandar,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Program empower ECER Machang telah dirasmikan hari ini oleh Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Jazlan Haji Yaakub, Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, merangkap Ahli Parlimen Machang. Majlis tersebut telah dihadiri lebih daripada 700 penduduk tempatan, termasuk 400 peserta dari kalangan pelajar dan dewasa yang turut disertai oleh ahli keluarga dan sanak-saudara mereka.

Pada majlis pelancaran tersebut, dua pelajar telah menerima “Anugerah Kepimpinan Ikon EMPOWER”. Mereka ialah Muhammad Syazman bin Ismail dari Sekolah Menengah Kebangsaan Machang dan Amira Fazlin Natasah binti Mohd Zaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad. Melalui program empower ECER yang dikendalikan oleh sekumpulan guru pakar terpilih, kedua-dua pelajar tersebut telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mereka tahun lalu dan kini sedang melanjutkan pengajian masing-masing. Ini merupakan satu pencapaian yang tidak pernah diduga oleh mereka memandangkan cabaran hidup yang dihadapi. Syazman kini sedang mengikuti Program Perantisan Teknologi Lanjutan Mercedes-Benz (Mercedes-Benz Advanced Technology Apprenticeship Programme) yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat automotif tersebut, manakala Amira Fazlin kini sedang mengikuti Program Diploma Pengurusan Teknologi di Kolej Yayasan Pahang.

“Kami amat berbangga dengan Syazman dan Amira Fazlin yang mewakili ribuan kisah kejayaan dari seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Impak agenda transformasi ini telah menguatkan lagi azam kami untuk membawa inisiatif ini ke peringkat seterusnya, selaras dengan wawasan Kerajaan Persekutuan. Saya yakin bahawa pembangunan belia dari komuniti luar bandar yang mampan dan berterusan akan merapatkan jurang sosioekonomi antara kawasan pedalaman dan bandar dalam masa terdekat,” tambah Datuk Seri Issace.

Untuk memastikan lebih banyak komuniti tempatan dapat menyertai dan menerima manfaat daripada empower ECER, program pembangunan modal insan tersebut telah dirasmikan di Tumpat baru-baru ini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki.

Buat masa ini, program serampang dua mata tersebut sedang dilaksanakan di 27 lokasi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing in Johor, dan telah memberi manfaat kepada lebih 51,000 pelajar dan 14,430 orang dewasa di ECER setakat Jun 2017. empower ECER telah diperkenalkan buat pertama kalinya di negeri ini di Jeli pada tahun 2011 dan susulan kejayaan inisiatif tersebut, ia telah diperluaskan ke kawasan-kawasan lain di Kelantan termasuklah Tumpat, Machang, Gua Musang, Pasir Mas dan Kuala Krai. Setakat ini, lebih 11,830 pelajar dan 2,860 peserta dewasa dari Kelantan telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Selain daripada empower ECER, ECERDC turut melaksanakan program-program pembangunan modal insan yang lain di Kelantan seperti program entrepreneur ECER, yang bertujuan membangunkan para usahawan mikro, kecil dan sederhana, serta Agropolitan, sebuah program pembasmian kemiskinan untuk golongan B40 di ECER.

– TAMAT –