PAHANG TARIK PELABURAN RM56.9 BILION WUJUDKAN LEBIH 53,565 PELUANG PEKERJAAN Projek-projek Berimpak Tinggi dan Infrastruktur Pacu Transformasi Pahang

KUANTAN, PAHANG, 4 JULAI 2017: Pelaburan swasta di Pahang terus berkembang, dengan sebahagian besarnya dipacu oleh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan kerja-kerja infrastruktur awam yang menjadi pemangkin transformasi Pahang dalam menjadi sebuah destinasi utama untuk pelabur.  Sehingga Mei 2017, Pahang telah berjaya menarik RM56.9 bilion pelaburan domestik dan antarabangsa, yang mewujudkan lebih 53,565 peluang pekerjaan untuk Rakyat, yang seterusnya telah meningkatkan taraf hidup penduduk negeri tersebut.
Pelaburan swasta dalam sektor pembuatan di Pahang kini berjumlah RM29 bilion, dengan pewujudan lebih 35,400 peluang pekerjaan, apabila Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) baru-baru ini telah menarik satu lagi pelaburan untuk pembinaan sebuah kilang pengeluaran baja kimia baharu oleh Sichuan Migao Chemical Fertilizer Industry Co., Ltd.
Sementara itu, pembinaan Pusat Siber (Cybercentre) di Taman Teknologi Pahang (PTP) sedang giat berjalan dan dijangka siap menjelang Ogos bulan ini, dan ini akan memudahkan pertumbuhan industri-industri makanan halal, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi serta agriteknologi yang akan ditempatkan di PTP.  Dikenal pasti sebagai  antara perniagaan global yang paling pantas berkembang di seluruh dunia, industri-industri tersebut sedang muncul sebagai bidang pertumbuhan baru dalam sektor pembuatan Malaysia, dan perkembangan ini akan menyediakan platform untuk lebih banyak pelaburan dalam segmen-segmen tersebut.
“Susulan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Pahang kini muncul sebagai sebuah destinasi pilihan yang berdaya saing dan berdaya tahan untuk pelabur.  Kerajaan Persekutuan akan terus melabur dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan infrastruktur strategik untuk terus memudahcara dan merangsang pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk Rakyat melalui peningkatan pelaburan dan pertumbuhan sosio-ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Pahang yang telah dipengerusikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob di sini hari ini.
Pelaburan-pelaburan di Pahang dijangka akan dipercepatkan dengan penyempurnaan beberapa projek infrastruktur.  Salah satu daripada pembangunan utama berkenaan ialah Peluasan Pelabuhan Kuantan yang akan menjadi sebuah pelabuhan laut dalam menjelang 2018. Ketika ini, pembinaan pemecah ombak di Pelabuhan Kuantan sedang berada di peringkat akhir manakala kerja-kerja infrastruktur luaran di pelabuhan tersebut seperti  persimpangan, jejambat dan jalan masuk baharu ke pelabuhan sedang berjalan lancar untuk disiapkan secara berfasa.  Pelabuhan Kuantan bersedia untuk menawarkan pelabur-pelabur di MCKIP dan ECER salah satu laluan terpantas ke pelabuhan-pelabuhan utama di China dan lain-lain pasaran Asia Pasifik, sekaligus mengukuhkan kedudukan Wilayah tersebut sebagai “Gerbang ke Asia Pasifik.”
Di samping itu, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 km akan meningkatkan kesalinghubungan di Wilayah tersebut dengan ketara, lantas meluaskan pasaran untuk sumber dan perdagangan. ECRL akan menghubungkan kawasan-kawasan ekonomi dan perindustrian utama dalam ECER termasuk  Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kuantan Sentral, Pelabuhan Kuantan dan Cherating di Pahang hingga Tumpat di Kelantan dengan Pelabuhan Klang di Pantai Barat, sekaligus mewujudkan lebih banyak kawasan pertumbuhan dan membuka peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk warga tempatan di wilayah ini.
Terlebih dahulu pada tahun ini, ECERDC telah menyerahkan Loji Rawatan Air Ganchong secara rasmi kepada Kerajaan Negeri susulan siapnya Pakej 1 dan 2 projek tersebut. Loji rawatan air tersebut kini membekalkan kira-kira 80 juta liter air bersih terawat setiap hari bagi memastikan bekalan air yang lancar untuk lebih 80,000 penduduk di Pekan dan kawasan sekitarnya.  Sejajar dengan kemajuan ekonomi di negeri tersebut yang kian meningkat, ECERDC sedang melaksanakan kerja-kerja di bawah Pakej 3 untuk memanjangkan sambungan paip air demi manfaat Rakyat di daerah Nenasi menjelang tahun 2018.
Keusahawanan dan sokongan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kekal menjadi salah satu teras bagi strategi ECERDC untuk menggerakkan sosio-ekonomi wilayah ini.  Dalam hal ini, 43 projek bernilai RM7.05 bilion yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat Bumiputera telah menerima insentif sama ada di bawah Pakej Insentif ECER atau Dana Mudahcara di bawah TERAJU@ECER, atau kedua-duanya. Projek-projek tersebut dijangka akan menjana 4,294 peluang pekerjaaan untuk Rakyat. Antara tahun 2012 dan Mei 2017, TERAJU@ECER telah meluluskan dana mudahcara berjumlah RM45.5 juta untuk 21 projek di Pahang, yang melibatkan pelaburan berjumlah sehingga RM357.1 juta.
Selain itu, Kompleks Serambi Teruntum yang bakal menjadi sebuah pusat sehenti untuk para pelancong dan rakyat tempatan dijangka akan memulakan operasi menjelang September 2017. Apabila siap kelak, 94 peniaga Pasar Tani dan usahawan mikro dari pusat bandar akan dipindahkan semula untuk menikmati kemudahan-kemudahan di Kompleks baharu ini.  Di samping itu, usahawan-usahawan baharu juga akan diberi peluang untuk menjalankan perniagaan mereka, dengan menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman dan kraftangan.  Kira-kira 30 peratus daripada ruang niaga di Kompleks tersebut diperuntukkan untuk para usahawan yang pernah mengambil bahagian dalam program-program pembangunan modal insan ECERDC yang inklusif, seperti empower ECER dan entrepreneur ECER.
Dari segi pembangunan modal insan, lebih 55,000 Rakyat di Pahang telah menerima manfaat daripada program-program ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER dan Agropolitan. Program-program tersebut telah berjaya melahirkan 9,306 usahawan mikro yang seterusnya  telah mewujudkan 15,699 peluang pekerjaan untuk warga tempatan. Kira-kira  97% daripada kesemua peserta program-program berkenaan adalah dari kategori berpendapatan 40 Peratus Terbawah (B40).
“Sejajar dengan Agenda Transformasi Nasional dan wawasan Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kami akan terus melabur dalam projek-projek infrastruktur awam, mempromosikan pelaburan serta meningkatkan kemahiran bakat tempatan di ECER dengan matlamat utama untuk memperkasakan rakyat dan menambahbaik kehidupan mereka,” kata Datuk Seri Issace.
 
-TAMAT-