MEMPERKASA ECER MENERUSI PROJEK INFRASTRUKTUR STRATEGIK, PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN INDUSTRI 4.0

KUALA LUMPUR, 22 JANUARI 2021: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM5.5 bilion dan merealisasikan pelaburan berjumlah RM4.2 bilion bagi tahun 2020 di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meskipun berdepan cabaran berikutan pandemik COVID-19.

Pelanjutan insentif bagi pelaburan ke Wilayah ECER oleh Kerajaan Persekutuan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Disember 2022 akan menjadi rangsangan utama dalam menarik pelaburan baharu dan mengembalikan momentum ekonomi di Wilayah ECER. Antara insentif di bawah Pakej Insentif ECER adalah pengecualian cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan, potongan bagi pelaburan dalam sektor pertanian dan pengecualian duti setem untuk aktiviti-aktiviti yang dipromosikan.

ECERDC akan memanfaatkan lanjutan insentif ini untuk menggiatkan promosi ECER sebagai destinasi pelaburan dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menarik lebih banyak pelaburan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. ECERDC masih mengekalkan sasaran untuk mencapai pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion menjelang 2025, seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) melainkan kemelesetan ekonomi global akibat pandemik COVID-19 berpanjangan.

“Kami yakin akan dapat mengembalikan momentum dengan pelanjutan insentif kerajaan. Dalam pada kami meneruskan promosi untuk menarik pelaburan baharu ke ECER, projek-projek dan program-program berimpak tinggi yang digariskan di dalam EMP2.0 akan terus dilaksanakan. Dalam jangka masa terdekat, sektor perniagaan tani dan pelancongan dijangka menjadi tonggak utama yang akan mendorong pemulihan ekonomi di Wilayah ini. Ini akan disokong oleh pembangunan modal insan yang bertumpukan kepada kemahiran Industri 4.0 (IR4.0) yang akan menjadi faktor utama dalam membangunkan kemampuan dan meningkatkan daya tahan rakyat untuk menghadapi cabaran dalam era pasca COVID-19,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, selepas mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat tersebut yang diadakan secara maya dari beberapa lokasi dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Menteri Besar Johor, YAB Datuk Ir. Hasni Mohammad. Hadir sama adalah YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan YBM Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan.

 

PERNIAGAAN TANI

Pandemik COVID-19 telah menyerlahkan kepentingan jaminan makanan dan keselamatan makanan negara. Malahan, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara membuktikan kepentingan isu ini.

Inisiatif-inisiatif ECERDC dalam bidang perniagaan tani adalah bertepatan bagi mencapai sasaran dan menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan Malaysia di dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI), di mana pada tahun 2019, kedudukan Malaysia telah meningkat daripada tangga ke-48 kepada tangga ke-28.

Sejajar dengan EMP2.0, ECERDC akan terus melaksanakan strategi model perniagaan Syarikat Induk, membangunkan infrastruktur asas untuk menarik pelabur, memaksimumkan penggunaan tanah untuk meningkatkan pengeluaran agro makanan dan memberikan insentif khusus sebagai daya tarikan tambahan bagi para pelabur. Model Syarikat Induk telah membuktikan kejayaan inisiatif kerjasama awam-swasta untuk mengukuhkan lagi pengeluaran agro-makanan domestik dengan penggunaan teknologi moden.

Antara projek yang dijangka akan menyumbang kepada keselamatan makanan negara adalah Pelan Transformasi Tok Bali dan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV). Pelan Transformasi Tok Bali akan mewujudkan ekosistem kemandirian yang mampan untuk industri perikanan dan kemudahan bersepadu yang akan menyediakan peluang menjalankan kegiatan hiliran bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk menghasilkan produk berasaskan ikan bernilai tinggi. Rancangan ini juga akan melibatkan kapal-kapal nelayan moden yang akan menyaksikan peningkatan kecekapan dan tenaga kerja mahir tempatan yang mengendalikan kapal-kapal ini. JDV pula adalah sebuah projek pembangunan bersepadu yang bermatlamat untuk mewujudkan aktiviti tenusu mampan yang merangkumi aktiviti huluan dan hiliran melibatkan pertanian, ternakan dan aktiviti keusahawanan luar bandar. Ia dijangka dapat meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11%.

Projek-projek utama lain yang akan menyumbang kepada keselamatan makanan negara ialah Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing, Lembu Sado dan ladang kelapa. Projek-projek ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat di dalam sektor pertanian.

 

PELANCONGAN

Walaupun industri pelancongan terjejas teruk akibat sekatan perjalanan antarabangsa dan perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, namun begitu, separuh kedua tahun 2020 menyaksikan peningkatan pelancongan domestik dengan permintaan yang lebih tinggi untuk destinasi pantai dan tempat peranginan. Menurut tinjauan pelancongan domestik pasca PKP, lebih daripada 72% responden memilih pulau dan pantai sebagai destinasi percutian pilihan mereka.

ECERDC telah menyiapkan beberapa projek pelancongan yang kini menjadi destinasi ikonik  untuk pelancong tempatan seperti Jambatan Angkat Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC), Menara Kuantan 188 di Pahang dan pembangunan Tanjung Penyabong di Mersing. Manakala projek pembangunan semula Kampung Laut dan Jambatan Palekbang di Kelantan masih di dalam peringkat pembinaan dan perancangan.

Memandangkan pulau-pulau menjadi antara destinasi pilihan utama untuk para pelancong, fokus ECERDC kini adalah untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di pulau-pulau ECER yang terkenal di persada dunia. Pembangunan ini mengambil kira kemampuan pulau-pulau tersebut untuk menampung bilangan pelancong bagi melindungi warisan semulajadi negara. Usaha ini akan menyokong kelestarian pelancongan bukan hanya untuk pelancong domestik tetapi juga sebagai persediaan untuk menerima kehadiran pelancong asing apabila pelancongan antarabangsa boleh diteruskan semula. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah penaiktarafan sistem tenaga solar hibrid di Pulau Kapas, Terengganu dan pembangunan Pulau Suri di Kelantan.

“Pulau-pulau berpotensi untuk menarik kehadiran ramai pelancong, baik tempatan mahupun antarabangsa, dan ini akan memberi kesan kepada alam sekitar dan ancaman kepada biodiversiti marin. Oleh itu, peningkatan infrastruktur sokongan seperti jeti, kemudahan awam, loji rawatan kumbahan dan pengurusan sisa pepejal akan membantu memelihara aset semulajadi pulau-pulau ini dan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan. Usaha ini adalah bertepatan pada masanya kerana kehadiran pelancong ke pulau-pulau ini dijangka akan meningkat pasca COVID-19,” kata Encik Baidzawi.

 

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Program pembangunan modal insan ECERDC memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di ECER, terutamanya mereka yang tergolong dalam kalangan B40. Di bawah EMP2.0, lebih daripada 48,000 orang termasuk Orang Asli telah mengambil bahagian dan mendapat manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC. Program empower ECER Latihan Akademik telah memberi manfaat kepada 24,696 pelajar, manakala program empower ECER Kemahiran dan Keusahawanan telah mewujudkan 6,218 usahawan yang merekodkan pendapatan tambahan antara RM1,000 hingga RM10,000. Di bawah program entrepreneur ECER, ECERDC telah membangunkan 6,202 usahawan sedia ada yang telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 30%. Secara keseluruhannya, para usahawan di bawah kedua-dua program ini telah mewujudkan sebanyak 20,652 peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.

Dengan peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 pada tahun 2019, seramai 122,766 isi rumah di ECER dikategorikan berada di bawah garis kemiskinan. Jumlah ini merangkumi golongan miskin dan miskin tegar. Kelangsungan program pembangunan modal insan akan memberi kesan secara langsung kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat. Untuk mengatasi peningkatan jumlah rakyat yang hidup di bawah garis kemiskinan, ECERDC akan terus melaksanakan dan memperkukuhkan program pembangunan modal insan bagi melengkapkan rakyat dengan kemahiran e-dagang dan digitalisasi. Ini bagi meningkatkan dan menjamin kebolehpasaran dalam pasca era COVID-19 bagi memastikan mereka dapat keluar daripada garis kemiskinan.

Melihat kepada peningkatan keperluan untuk beralih ke platform digital dan e-dagang susulan daripada pandemik COVID-19, ECERDC telah melaksanakan program latihan kemahiran digital untuk para usahawan yang aktif di ECER. Melalui program empower ECER dan entrepreneur ECER, ECERDC telah menyediakan latihan bagi membantu mereka menggunakan platform e-dagang seperti Shopee, perkhidmatan penghantaran makanan seperti Food Panda, Grab dan OdaMakan serta menggalakkan pemasaran melalui media sosial iaitu menerusi Facebook untuk meningkatkan pendapatan dan membantu usahawan untuk mengekalkan perniagaan ketika  pandemik. Setakat ini, seramai 8,325 usahawan telah mendapat manfaat daripada latihan tersebut.

ECERDC juga telah membantu seramai 4,588 usahawan mikro untuk mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2020 bagi memudahkan mereka mendapat bantuan kerajaan. Dengan mendaftar perniagaan, para usahawan dapat memohon Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), yang akan membolehkan mereka mempercepatkan proses mendigitalkan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan.

ECERDC juga merupakan salah satu agensi yang melaksanakan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kerajaan Persekutuan. Di bawah program PENJANA-ECERDC, yang terdiri daripada ECER Talent Enhancement Programme – ETEP (Penempatan Pekerjaan dan Latihan) dan ETEP Enhanced (Latihan dan Penempatan Pekerjaan), ECERDC mensasarkan untuk meningkatkan kemahiran 5,500 peserta di bawah kedua-dua program tersebut menjelang awal 2021.

“Untuk memastikan PGK dapat ditangani, kita harus memastikan jurang pendapatan dapat dirapatkan. Oleh itu, program pembangunan modal insan kami adalah komponen penting dalam ekosistem ECER yang menyokong pelaburan swasta melalui penyediaan tenaga mahir di ECER, penciptaan usahawan baharu dan juga membangunkan usahawan sedia ada untuk memanfaatkan peluang perniagaan yang terhasil daripada aktiviti pelaburan,” kata Encik Baidzawi.

 

KE ARAH ERA PASCA COVID-19

Pembangunan kemahiran Industri 4.0 akan membolehkan rakyat memanfaatkan peluang-peluang baharu di masa hadapan dalam jangka masa panjang. Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), sebuah kerjasama antara ECERDC dan TUM International GmbH (TUMInt), sebuah subsidiari kepada universiti terkemuka di Jerman iaitu Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich) akan memainkan peranan penting dalam transformasi digital di ECER. Kerjasama ini dimeterai dengan pembentukan ACES Smart Solutions Sdn. Bhd.

Bagi menyediakan tenaga kerja yang bersedia untuk Industri 4.0, ACES sedang membangunkan sebuah aplikasi web untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan para pelajar mengenai aplikasi dan peluang kerjaya dalam Industri 4.0. Aplikasi ini merupakan program kesedaran perintis di Malaysia yang menyasarkan golongan muda. Ianya bertujuan untuk memberi inspirasi kepada para pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam pengajian berkaitan dengan Industri 4.0 atau menjadi usahawan dalam ekosistem Industri 4.0.

Aplikasi ini boleh diakses menggunakan peranti tablet yang disediakan untuk pelajar SPM di bawah program empower ECER Latihan Akademik anjuran ECERDC. Data yang diperolehi menerusi aplikasi ini akan digunakan untuk menilai kebolehan mereka untuk menjalani program latihan ACES di masa hadapan sebagai persiapan untuk kerjaya di dalam Industri 4.0.

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan kejutan ekonomi dan pasaran di seluruh dunia yang belum pernah terjadi sebelum ini, dan ECER tidak terkecuali daripada merasakan impaknya. Walau bagaimanapun, ECERDC tetap optimis dan kami akan terus melaksanakan projek dan program berimpak tinggi yang diperlukan untuk memastikan pembangunan yang seimbang di ECER bagi menarik para pelabur berkualiti tinggi dan membantu proses pemulihan ekonomi,” tambah Encik Baidzawi.

 

-TAMAT-

 

Tentang ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).  ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan arah tuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun dan menjadi destinasi pelaburan yang unik, dinamik dan berdaya saing.

ECER meliputi kawasan seluas 66,000 km persegi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh lima kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Prasarana, Hartanah dan Persekitaran untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.