PROJEK JAMBATAN PALEKBANG DAN PEMBANGUNAN SEMULA KAMPUNG LAUT BAKAL RANCAKKAN AKTIVITI PELANCONGAN
DAN SOSIOEKONOMI DI KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN, 3 JANUARI 2021: Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed hari ini telah mengadakan lawatan bersama untuk meninjau perkembangan projek-projek strategik Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Antara projek yang telah dilawat oleh YAB Menteri Besar dan YB Menteri ialah tapak projek Projek Jambatan Palekbang-Kota Bharu serta projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan di Tumpat yang sedang dalam peringkat pembinaan.
Turut serta dalam lawatan tersebut adalah YB Dato’ Haji Che Abdullah bin Mat Nawi, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II merangkap Ahli Parlimen Tumpat; Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, YB Dato’ Sr. Haji Azami bin Mohd Nor; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, Tuan Haji Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Encik Baidzawi Che Mat, serta wakil dari Jabatan Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi.
Pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bahru akan dapat menyuraikan masalah kesesakan trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan pusat bandar Kota Bharu di samping menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Tumpat dan Kota Bharu. Jambatan ini akan meningkatkan kesalinghubungan penduduk setempat serta memudahkan pergerakan rakyat dan perdagangan rentas sempadan apabila siap kelak.
Projek pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan yang berkonsepkan ‘muzium hidup’ atau ‘living museum’ pula melibatkan pembinaan Laman Warisan dan Laman Seni yang bukan sahaja dibangunkan untuk tarikan pelancong, malah memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjual makanan tradisional dan kraftangan tempatan. Fasa 1 projek ini dijangka siap pada bulan Mei 2021.
Antara komponen utama dalam projek ini adalah pemindahan semula Masjid Kampung Laut yang berusia lebih kurang 300 tahun, iaitu salah sebuah daripada masjid tertua di Malaysia. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan nilai-nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid tersebut dan menjadikannya sebuah mercu tanda warisan di Kelantan.
“Projek-projek berimpak tinggi seperti Jambatan Palekbang-Kota Bharu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan kepada perkembangan setempat di negeri Kelantan. Projek seumpama ini mampu membuka potensi ekonomi di negeri Kelantan. Projek ini berserta pembangunan semula Kampung Laut yang terletak berhampiran dijangka akan memperkukuhkan lagi industri pelancongan di negeri ini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk di sini menerusi peluang penjanaan ekonomi untuk rakyat di Kelantan,” kata YB Dato’ Sri Mustapa.
Terdahulu, YB Dato’ Sri Mustapa telah melawat Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali. Beliau telah mendengar taklimat berkaitan rangka strategik pembangunan kawasan Tok Bali.
Pangkalan Bekalan Tok Bali dibangunkan oleh pihak swasta bagi menyokong aktiviti penerokaan minyak dan gas di luar pesisir pantai Semenanjung Malaysia. Lokasinya yang strategik membolehkan TBSB menjadi pusat sehenti bekalan perkhidmatan untuk syarikat-syarikat minyak dan gas, serta syarikat perkhidmatan sokongan yang beroperasi di Laut China Selatan.
Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali pula akan menggalakkan aktiviti pemprosesan nilai tambah untuk menghasilkan produk yang berasaskan ikan seperti otoshimi, surimi dan pemprosesan tuna. Ia dijangka akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat dan menyumbang ke arah jaminan makanan negara.
“ECERDC akan terus menerajui pelaksanaan projek-projek strategik dan menarik pelaburan baharu untuk mengekalkan momentum pembangunan dan merancakkan semula ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), terutamanya di Kelantan, pasca COVID-19. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, dan Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan kesemua projek dalam pelaksanaan dan perancangan akan berjalan lancar,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Selain daripada Jambatan Palekbang-Kota Bharu, projek-projek utama lain di Kelantan adalah Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), Central Spine Road (CSR) termasuk lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan kerja-kerja menaik taraf jalan raya Pasir Puteh ke Jeli. Projek-projek ini bukan sahaja dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Kelantan dan seluruh negara, malah turut akan mencetuskan limpahan ekonomi di kawasan-kawasan sekitarnya.
– TAMAT–