MENEROKA POTENSI ECER: MENERAJUI PEMBANGUNAN UNSUR NADIR BUMI DAN STRATEGI SIFAR BERSIH
KUALA LUMPUR, 28 NOVEMBER 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini menganjurkan seminar bertajuk “Accelerating Net-Zero: Opportunities for Hard-to-Abate Industries in ECER”, yang menampilkan peluang pelaburan dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE) serta strategi dekarbonisasi bagi menyokong industri-industri hard to abate yang mampan dan menarik pelaburan yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
Seminar ini, hasil kerjasama dengan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA), dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli. Perbincangan dalam seminar menekankan potensi besar Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai hab pembangunan REE, disokong oleh simpanan bernilai berbilion ringgit serta penyelesaian alam sekitar yang canggih, termasuk fasiliti Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCS) oleh PETRONAS yang memainkan peranan penting dalam usaha penyahkarbonan merentas pelbagai industri.
Dengan memanfaatkan kepakaran Jepun dalam tenaga bersih dan teknologi canggih, ECER bersedia untuk merealisasikan sepenuhnya nilai rantaian REE. Sebagai pengguna utama REE dalam komponen kenderaan elektrik (EV) dan pembuatan berteknologi tinggi, Jepun menawarkan kerjasama strategik untuk mengoptimumkan sumber REE ECER serta memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan kritikal ini.
Melalui Zon Ekonomi Khas Pantai Timur (ECER SEZ), wilayah ini menyediakan pelbagai insentif strategik serta merancang pembangunan fasiliti CCS di pelabuhan Kerteh dan Kuantan, membuka laluan kepada ekosistem industri mampan bagi sektor sukar dikurangkan.
Selaras dengan matlamat Rancangan Pembangunan ECER dan Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang, ECERDC menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM225 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 7%. Sektor pembuatan dijangka menyumbang RM44 bilion serta menarik pelaburan swasta sebanyak RM21 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat berkata “Seminar ini bukan sekadar platform perbincangan, tetapi peluang untuk menyelaraskan matlamat ECER dan meneroka penyelesaian inovatif bagi menyahkarbonkan industri sukar dikurangkan, khususnya sektor REE yang semakin berkembang.”
Beliau turut menambah bahawa dengan insentif menarik, sokongan strategik ECERDC, dan kepakaran serta pandangan daripada pakar Jepun, ECER berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berimpak tinggi.
Semasa seminar, projek CCS Utara dan Selatan oleh PETRONAS, yang menawarkan penyelesaian inovatif untuk pengurusan karbon khusus bagi industri sukar dikurangkan, turut menjadi tumpuan utama. Inisiatif ini mencerminkan komitmen ECER untuk mewujudkan ekosistem industri mampan sambil menyediakan peluang pelaburan kompetitif kepada pelabur yang mengutamakan kelestarian alam sekitar.
Seminar ini diakhiri dengan sesi panel yang menampilkan pemimpin industri, termasuk wakil daripada Japan Oil, Gas & Metals National Corporation (JOGMEC), Lynas Malaysia, dan PETRONAS. Panel ini membincangkan strategi praktikal untuk menangani cabaran dalam pembangunan REE serta pelaksanaan penyelesaian penyahkarbonan, sekali gus menetapkan hala tuju yang jelas untuk pertumbuhan industri mampan di ECER.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam
Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Fatin Rasyiqah Mustaza
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Tel: 03-8885 0182 / 012 – 588 1127
Emel: fatinrasyiqah@ecerdc.com.my