PAHANG BARAT BAKAL MENJADI TUMPUAN PERTUMBUHAN EKONOMI BAHARU DI NEGERI PAHANG
Pembangunan Akan Memberi Fokus Kepada Projek Pertanian Berskala Besar dan
Meningkatkan Tarikan Pelancongan Domestik
KUANTAN, PAHANG, 11 DISEMBER 2020: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang Barat melalui aktiviti pertanian dan pelancongan, berikutan kedudukan geografinya yang terletak berdekatan dengan Lembah Klang.
Pahang Barat merangkumi daerah Bentong, Cameron Highlands, Raub, dan Lipis, manakala daerah Jerantut dan Bera termasuk dalam Pahang Barat Plus. Daerah-daerah ini secara kolektifnya mempunyai tanah yang luas dan berpotensi untuk menarik pelaburan dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi seperti ternakan, penanaman pokok durian dan tongkat ali. Ia juga menawarkan destinasi menarik termasuk tanah tinggi yang boleh dikembangkan lagi sebagai tarikan pelancongan. Inisiatif ini disokong oleh projek infrastruktur strategik yang meningkatkan kesalinghubungan Pahang Barat, seperti Jalan Lingkaran Tengah (CSR), yang memainkan peranan penting di dalam pembangunan ekonomi di negeri Pahang dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) secara keseluruhan.
ECERDC yakin bahawa lebuhraya CSR berpotensi untuk membuka kawasan pertumbuhan baharu dan merangsang ekonomi setempat dengan kesalinghubungan yang meluas, menghubungkan Pahang Barat dengan kawasan ekonomi utama yang lain di negara ini. Sebagai contoh, daerah Bentong berpotensi besar untuk menjadi hab pengedaran dan logistik untuk daerah sekitarnya dengan peningkatan kesalinghubungan melalui CSR dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0), ECERDC menyasarkan untuk menarik pelaburan swasta sebanyak RM31 bilion ke negeri Pahang menjelang tahun 2025. Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang menarik di ECER dengan memperoleh RM9.5 bilion dalam pelaburan domestik dan asing antara tahun 2018-2020. Daripada jumlah itu, RM1.83 bilion tertumpu pada sektor pelancongan, hartanah dan pertanian di Pahang Barat.
“ECERDC bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan para pelabur untuk meningkatkan kemajuan pembangunan di Pantai Timur. Terdapat keperluan untuk melabur dalam infrastruktur strategik seperti jalan masuk, yang merupakan kunci untuk menarik pelaburan berkualiti dalam sektor pertanian dan pelancongan,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan hari ini. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Selepas mempengerusikan Mesyuarat ICC ECER Negeri Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy turut meluangkan masa menyaksikan pertukaran dokumen pinjaman diantara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pahang dan ECERDC untuk pembinaan paip agihan air sepanjang 29km dari Kemaman, Terengganu, ke Gebeng, Pahang, untuk Kawasan Perindustrian Gebeng.
“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan terhadap projek ini. Pembinaan paip agihan air ini adalah kritikal untuk industri sedia ada. Ia bukan sahaja akan memenuhi permintaan semasa untuk bekalan air daripada kawasan perindustrian malah akan membantu mengekalkan pelaburan serta berperanan sebagai pemangkin bagi menarik lebih banyak pelaburan baharu dan pembangunan di negeri Pahang. Ini sekaligus akan memberi manfaat kepada rakyat melalui peningkatan peluang-peluang ekonomi dan taraf hidup mereka,” kata Encik Baidzawi.
Pembinaan projek paip agihan air yang diterajui oleh ECERDC ini akan bermula pada Jun 2021 dan dijangka akan siap pada Disember 2022.
Pembangunan Sektor Pertanian
Pahang adalah “dusun Malaysia” memandangkan ia adalah pengeluar makanan segar terbesar di negara ini. Pada tahun 2019, sektor pertanian menyumbang RM12.9 bilion atau 22% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri. Untuk terus memacu pembangunan sektor pertanian, ECERDC bekerjasama rapat dengan pelabur swasta bagi mengembangkan industri tenusu di Pahang Barat dan mereplikasi kejayaan di Muadzam Shah. Ini dapat dicapai dengan terus melabur dalam infrastruktur strategik bagi membangunkan kemudahan ternakan dan pengeluaran, serta memastikan produktiviti yang lebih tinggi dengan membangunkan tanah pertanian yang terbiar.
Bagi memenuhi permintaan tongkat ali yang semakin meningkat, ECERDC telah mengenal pasti Chegar Perah untuk dibangunkan sebagai lokasi ladang tongkat ali komersial yang terbesar di Malaysia di mana 13,000 pokok tongkat ali akan ditanam menjelang akhir tahun 2020. Terdapat rancangan untuk membangunkan pusat penyelidikan tongkat ali dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Industri durian di Pahang adalah yang terbesar di Malaysia, meliputi lebih daripada 14,867 hektar tanah di negeri ini. Berdasarkan peningkatan permintaan durian sepanjang beberapa tahun kebelakangan terutama untuk pasaran eksport, ECERDC memberi sokongan dengan memudahcara pelaburan dalam pembangunan produk hiliran berteraskan durian bagi membolehkan pekebun meraih pulangan yang lebih tinggi untuk hasil mereka.
Pembangunan Pelancongan di Pahang Barat
Antara pemacu utama ekonomi yang turut mendorong pertumbuhan sosioekonomi di Pahang Barat adalah sektor pelancongan. Pahang Barat yang kaya dengan alam semula jadi dan budaya, menawarkan pengalaman pelancongan yang menakjubkan melalui pelbagai produk dan tarikan yang unik. Ekopelancongan dan pelancongan bertemakan warisan mempunyai potensi tinggi untuk berkembang dan ECERDC menumpukan perhatian ke arah mewujudkan tarikan yang lestari. Pembangunan Pelancongan Warisan Lipis, yang melibatkan usaha menaik taraf bangunan warisan di Kuala Lipis akan merancakkan pelancongan warisan di Pahang Barat dan melengkapkan Jejak Harimau Malaya yang menjadi tarikan utama bagi pencinta eko-pengembaraan. Pada masa yang sama, pembangunan pelancongan Jejak Harimau Malaya di Jeram Besu telah dikenal pasti untuk dibangunkan menerusi pelaburan swasta.
Sementara itu, Genting Highlands, Cameron Highlands dan Bukit Fraser di Pahang Barat masih berpotensi besar untuk pertumbuhan pelancongan. Antara projek pelancongan utama yang dikenal pasti ialah Pembangunan Taman Eko-Rimba Mossy Forest di Cameron Highlands dan juga pembangunan eko resort bersepadu di Bentong.
Pembangunan lebuhraya CSR juga akan menjadi pemboleh utama pelancongan domestik. Perjalanan yang lebih pendek antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia menjadi daya tarikan besar kepada para pengunjung harian yang menginginkan percutian hujung minggu.
Pembangunan Modal Insan
Pembangunan modal insan (HCD) kekal menjadi keutamaan dengan penekanan khas diberikan kepada masyarakat Orang Asli kerana ramai antara mereka adalah dalam kalangan komuniti termiskin di Pahang Barat. Di bawah EMP 2.0 (2018-2020), sejumlah 6,423 rakyat di Pahang Barat telah mendapat manfaat daripada program pembangunan modal insan ECERDC, yang mana 11% daripada mereka adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Untuk tahun 2021, program empower ECER di daerah Lipis, Bentong, Raub, Cameron Highlands dan Jerantut akan mengambil pendekatan baharu yang melibatkan syarikat induk dan kerjasama dari pusat latihan tempatan.
ECERDC akan terus menyediakan latihan dan program pembangunan untuk masyarakat Orang Asli di Pahang, memandangkan 40% daripada mereka bermastautin di Pahang Barat, di mana majoriti menetap di Cameron Highlands dan Lipis. Bagi tahun 2021, ECERDC akan bekerjasama dengan Yayasan Pahang dan MyKasih untuk melatih Orang Asli di Kampung Orang Asli Kuala Koyan dan Kampung Orang Asli Pak Senam di Lipis untuk mengusahakan tanaman cili dengan teknik fertigasi. Anak-anak Orang Asli pula akan diberikan kursus pengayaan dan kelas tuisyen untuk membantu mereka dalam pelajaran.
Sementara itu, ECERDC, sebagai salah satu agensi pelaksana inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di bawah Kerajaan Persekutuan telah menerima kelulusan untuk melatih dan menempatkan seramai 5,000 belia menganggur di ECER. Belia di Pahang boleh mengikuti kursus latihan kemahiran untuk memperoleh kemahiran bernilai yang relevan dalam ekonomi pasca COVID-19 yang menggunakan teknologi tinggi.
“Transformasi sosioekonomi di Pahang pasca COVID-19 akan dipercepatkan dalam beberapa tahun akan datang melalui projek-projek pembangunan strategik berimpak tinggi yang telah dirancangkan. Membangunkan sosioekonomi dengan mewujudkan kawasan ekonomi baharu di Pahang Barat akan mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan aktiviti-aktiviti keusahawanan. Ini dapat mengurangkan jurang pembangunan antara masyarakat bandar dan luar bandar dan memastikan pertumbuhan sosioekonomi yang berterusan dan seimbang bagi masyarakat di Pahang Barat, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” kata Encik Baidzawi.
-TAMAT-