PAHANG, 12 DISEMBER 2024 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menyempurnakan sebuah lagi pencapaian penting dengan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air Kemaman-Gebeng sepanjang 29.8 kilometer. Infrastruktur ini memastikan bekalan air terawat yang konsisten dan mencukupi dari Kemaman ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menangani gangguan bekalan air yang berlarutan dan menyediakan kemudahan asas bagi pertumbuhan perindustrian yang berterusan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pencapaian ini mencerminkan kerjasama erat antara ECERDC, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), dan Syarikat Air Terengganu (SATU), dengan Terengganu menjadi kunci kejayaan atas sokongan negeri tersebut kepada keperluan air di Pahang. Saluran paip ini melambangkan hubungan ekonomi yang kukuh antara dua negeri, dengan kerjasama tersebut memupuk pembangunan wilayah melalui pertukaran sumber dan perkongsian strategik.
Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang pada hari ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, dan YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Projek ini melambangkan komitmen oleh kedua-dua pihak untuk memastikan infrastruktur yang dibina memenuhi keperluan industri serta penduduk setempat.
Dalam ucapan, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat,Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata, “Kami dengan penuh rasa penghargaan mengalu-alukan kehadiran anda semua ke majlis ini, di mana kami akan merasmikan salah satu pemboleh daya (enabler) penting bagi pertumbuhan ekonomi di wilayah ECER, iaitu penyediaan bekalan air yang stabil dan mampan”.
Dengan bekalan tambahan sebanyak 90 juta liter air terawat sehari dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang, paip agihan ini memenuhi keperluan bekalan air di Gebeng. Pembinaan infrastruktur yang kritikal ini memastikan bekalan air yang stabil untuk menangani permintaan air bersih yang dijangka akan meningkat kepada 466 juta liter sehari menjelang tahun 2025, berbanding dengan bekalan semasa yang hanya 290 juta liter sehari.
“Saya ingin menekankan kepentingan sumber ini dalam mengukuh ekosistem perindustrian, khususnya kepada kawasan perindustrian di Gebeng dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), di mana ia berfungsi sebagai asas utama untuk menarik pelaburan baru dan menyokong pelabur yang sedia ada”,
“Dengan infrastruktur yang kukuh, lokasi strategik, dan dasar sokongan di wilayah ini, ditambah lagi dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan di sekitar wilayah ini sudah bersedia untuk memenuhi keperluan industri, malah lagi untuk perindustrian yang cukup intensif”, tambah lagi YBhg. Dato’ Baidzawi.
Dengan penyelesaian Pembinaan Paip Agihan Kemaman-Gebeng, kawasan Gebeng kini lebih bersedia untuk memanfaatkan lokasinya yang strategik dan ketersambungan kawasan tersebut kepada infrastuktur utama di Wilayah Pantai Timur, termasuklah Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Akses kepada infrastruktur ini akan terus memperkukuh daya tarikan Gebeng sebagai hab industri berorientasikan eksport bernilai tinggi, sambil menyokong pertumbuhan perniagaan yang sedia ada.
Projek ini mencerminkan usaha yang berterusan oleh ECERDC, bersama negeri-negeri di Wilayah Pantai Timur, untuk menyediakan persekitaran yang bersedia untuk menarik pelaburan baru dan selaras dengan aspirasi ekonomi Malaysia. Melalui pelaksanaan projek strategik seperti ini, Wilayah Pantai Timur terus mengukuhkan peranannya untuk pertumbuhan jangka masa panjang serta pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Fatin Rasyiqah Mustaza
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Tel: 03-8885 0182 / 012 – 588 1127
Emel: fatinrasyiqah@ecerdc.com.my