PASAR TERAPUNG PULAU SURI DINAIK TARAF MENJADI SATU LAGI DESTINASI PELANCONGAN UNIK DI KELANTAN

KOTA BHARU, 16 MEI 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyiapkan kerja-kerja menaik taraf di Pasar Terapung Pulau Suri, Tumpat untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Kelantan. Pulau Suri, atau lebih dikenali sebagai Kampung Pulau Suri adalah sebuah kampung nelayan tradisional di jajahan Tumpat, Kelantan. Pasar terapung Pulau Suri merupakan salah satu pasar terapung terawal di Malaysia yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, yang mempengerusikan mesyuarat ICC Kelantan telah menzahirkan penghargaan atas komitmen ECERDC dalam menaik taraf infrastruktur di Pasar Terapung Pulau Suri yang akan meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan yang unik. Projek menaik taraf Pasar Terapung Pulau Suri yang telah siap ini juga tepat pada waktunya dan akan menjadi satu lagi tawaran pelancongan Kelantan menjelang Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.

“Inisiatif pembangunan ECERDC, khususnya dalam mencipta destinasi dalam sektor pelancongan adalah selari dengan rancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kelantan sebuah destinasi pelancongan yang menarik. Kerajaan Negeri Kelantan yakin bahawa TMK 2024, yang membawa tema keluarga, makanan dan festival akan menarik lebih 10 juta pelancong ke negeri ini,” kata YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Rosnazli bin Haji Amin, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, YBrs. Encik Mohamad Nazwan bin Ismail, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, YBrs. Puan Mazillah Azleen bt Mat Nor, Pemangku Pengarah PLANMalaysia@Kelantan dan YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang mula beroperasi pada 1 Mei 2024 telah membolehkan kemasukan penerbangan antarabangsa ke Kota Bharu dan ini akan menyokong inisiatif pelancongan dan seterusnya meningkatkan ekonomi negeri Kelantan dengan menarik pelancong dan pelabur ke negeri ini. Kerja-kerja menaik taraf selanjutnya di LTSIP dijangka akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.

Dalam mesyuarat ICC Kelantan kali ini, kerajaan negeri menjangkakan, projek pembangunan rangkaian infrastruktur lebuhraya, termasuk pembinaan Lingkaran Tengah Utama dan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai akan menjadi faktor kritikal untuk menarik pelaburan ke negeri Kelantan di masa akan datang.

“Pendekatan holistik ECERDC dalam memacu pertumbuhan ekonomi di negeri Kelantan dapat disaksikan menerusi pembangunan pelancongan dan usaha untuk menarik pelaburan yang dilaksanakan seiring. Dengan memanfaatkan daya tarikan warisan budaya dan keindahan alam negeri Kelantan, ECERDC komited dalam membangunkan ekosistem pelancongan mampan yang tidak hanya meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan, malah mampu menjana kemakmuran ekonomi jangka masa panjang di negeri ini,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mengetuai lawatan kerja ke Pasar Terapung Pulau Suri, sejurus selesai mesyuarat ICC Kelantan.

Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan turut dimaklumkan mengenai perkembangan pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang sedang dilaksanakan di Tumpat, Kelantan. Apabila siap pada tahun 2026, jambatan yang menghubungkan Kota Bharu ke Tumpat ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memainkan peranan sebagai pemangkin pelaburan serta pertumbuhan sosioekonomi komuniti tempatan. Inisiatif lain yang sedang dilaksanakan yang turut dibentangkan termasuk pembangunan Taman Industri Tok Bali, perancangan projek lembah tenusu di Kelantan dan perkembangan Pelan Induk ECER 3.0.

-TAMAT-

Mengenai ECER dan ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan kedalam Wilayah. ECERDC yang ditubuhkan pada 14 Jun 2008, menyambut ulang tahunnya yangke-15 pada tahun 2023.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu olehenam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 019-987 7059
E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my