PEMINDAHAN BERSEJARAH MASJID KAMPUNG LAUT KE LOKASI ASALNYA

KOTA BHARU, 14 SEPTEMBER 2020: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melaksanakan projek pemuliharaan warisan bagi memulihkan Masjid Kampung Laut yang berusia 400 tahun dan memindahkannya semula ke lokasi asalnya. Ini adalah usaha untuk mengekalkan nilai-nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid tersebut dan mencipta sebuah mercu tanda warisan di Kelantan.

Masjid Kampung Laut adalah salah sebuah daripada masjid tertua di Malaysia yang masih digunakan sebagai tempat untuk beribadat. Masjid kayu ini dibina tanpa menggunakan paku dan juga merupakan tarikan utama di Kelantan untuk para pelancong, penyelidik dan pelajar seni bina. Dibina pada abad ke-18, masjid ini telah terselamat daripada dua banjir besar iaitu pada tahun 1926 dan 1966, sebelum ia dipindahkan daripada Kampung Laut, Tumpat ke lokasinya sekarang di Nilam Puri.

“Masjid Kampung Laut dianggap sebagai salah sebuah bangunan yang bersejarah di negara ini. Bangunan seperti ini tidak lagi dibina dan ianya perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Adalah satu penghormatan bagi kami di ECERDC kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Muzium Negeri Kelantan dan Bahagian Seni Bina Universiti Malaysia Kelantan dalam menjalankan kerja-kerja pemeliharaan masjid ini yang kaya dengan warisan sejarah supaya ia kekal sebagai aset berharga bagi rakyat Kelantan,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di majlis doa selamat yang diadakan bersempena dengan pemindahan bersejarah tersebut. Majlis diadakan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Negeri Kelantan.

Susulan daripada mesyuarat ICC yang dijalankan awal hari ini, Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob bersama dengan ahli-ahli ICC mengerjakan solat Zuhur di masjid tersebut sebelum bermulanya kerja-kerja pemindahan. Masjid ini akan dileraikan, dipulihkan dan akan dipasang semula di Kampung Laut, Tumpat. Projek pemuliharaan warisan ini dijangka siap pada Januari 2022.

Selain daripada pemindahan masjid, ECERDC juga akan membangunkan dua kompleks komersial bersebelahan dengan Masjid Kampung Laut, iaitu Laman Warisan dan Laman Seni untuk menarik dan memenuhi keperluan para pelancong di kawasan tersebut. Kompleks ini akan membolehkan PKS tempatan untuk menjual makanan tradisional, kraf tangan dan cenderamata tempatan kepada pengunjung. Kompleks ini juga akan diketengahkan sebagai destinasi yang “mesti dikunjungi” di Kota Bharu, Kelantan.

“Selaras dengan Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0), ECERDC akan terus membangunkan sektor pelancongan di Kelantan, yang merupakan pemacu ekonomi penting di ECER. Kami akan mempergiatkan usaha untuk “mencipta” destinasi seperti tapak warisan Masjid Kampung Laut untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke Kelantan. Sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan ECERDC untuk memperkukuhkan sektor pelancongan Kelantan, kami juga akan membangunkan kawasan-kawasan tarikan lain di sepanjang Sungai Kelantan. Antaranya, Kampung Sungai Budur, Kota Bharu promenade,  dan kerja-kerja menaik taraf di pasar terapung Pulau Suri. Usaha-usaha ini bukan sahaja akan menarik kehadiran pelancong, tetapi turut membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat di Negeri ini menerusi peluang pekerjaan dan keusahawanan,” kata Encik Baidzawi.

Pembangunan Lain di Kelantan.

ECERDC bersama Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi dan program pembangunan modal insan untuk mentransformasi sosioekonomi di Negeri ini serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Kelantan.

Antara pembangunan utama di Kelantan adalah kompleks komersial Plaza IMT-GT di Bukit Bunga. Lokasi Plaza IMT-GT yang strategik, bersempadan dengan Selatan Thailand dan berdekatan dengan CIQ Bukit Bunga menjadikan ia Gerbang Rentas Sempadan yang strategik untuk perdagangan, pelancongan dan pembangunan perindustrian komersial tempatan dan rentas sempadan. Pembangunan Plaza IMT-GT yang telah siap pada awal tahun ini akan memberikan peluang kepada kira-kira 100 usahawan tempatan untuk mempromosikan dan memasarkan produk mereka kepada pembeli tempatan dan juga daripada negara jiran iaitu Thailand.

Kelantan juga akan menerima manfaat daripada pelaksanaan lima (5) projek utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bernilai RM 1.4 bilion. Projek-projek tersebut adalah Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), Central Spine Road (CSR) termasuk lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai, perluasan dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, kerja-kerja menaik taraf jalan raya Pasir Puteh ke Jeli dan jambatan Palekbang. Projek-projek ini bukan sahaja dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Kelantan dan seluruh negara, malah turut akan mencetuskan limpahan ekonomi di kawasan-kawasan sekitarnya.

“Kini Thailand sedang giat membangunkan Selatan Thailand dan mempromosikan kawasan perindustrian di Pattani, Narathiwat, Satun dan Yala kepada para pelabur. Melihat kepada perkembangan pesat di Selatan Thailand, pelaksanaan projek seperti LPT3, Central Spinde Road, Jambatan Palekbang serta ketersediaan utiliti di Kelantan adalah sangat penting bagi negeri ini untuk terus kekal berdaya saing.”

“Kami ingin menyaksikan transformasi Kelantan kepada destinasi pelaburan yang rancak di Wilayah ini. Bersama Kerajaan Negeri Kelantan, ECERDC kekal komited untuk menerajui momentum pembangunan sosioekonomi dan menyokong transformasi Kelantan menjadi destinasi pelaburan yang rancak di Wilayah ini untuk memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh,” kata Encik Baidzawi.

Tentang ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood

Pengurus, Perhubungan Media

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)

Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085

E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my