ROMPIN, PAHANG 15 SEPTEMBER 2020: Hari ini, Kerajaan Negeri Pahang telah membuka semula Taman Negeri Rompin setelah ia ditutup selama empat tahun untuk memberi laluan kepada pembinaan Rainforest Discovery Centre (RDC), sebuah dewan serbaguna dan kemudahan awam. RDC merupakan sebuah projek pembangunan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi mengukuhkan lagi kedudukan taman negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampan, sekaligus membawa impak positif kepada kehidupan masyarakat setempat.
Taman Negeri Rompin merupakan komponen utama dalam konsep pembangunan ekopelancongan ‘Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ (R2R) ECERDC. Ia merupakan salah satu daripada hutan hujan yang tertua di Malaysia dengan ciri geologi unik yang berusia 200 juta tahun. Hutan hujan ini telah dikenal pasti sebagai hab biodiversiti dan destinasi ekopelancongan antarabangsa.
RDC menempatkan kompleks pengunjung, dewan serbaguna, ruang pameran, pusat penyelidikan dan jambatan gantung. Disamping itu, terdapat juga menara tinjau berketinggian 15 meter yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan hutan hujan yang menakjubkan. Pengunjung juga dapat berjalan melintasi Sungai Endau melalui jambatan gantung berketinggian 80 meter, menikmati Air Terjun Mahkota, Ulu Kemampan, Padang Tujuh dan juga dapat memerhati burung-burung, haiwan serta tumbuh-tumbuhan dan bunga tropika. Pusat tersebut juga mempunyai kedai cenderamata yang akan memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjual kraf tangan tradisional setelah ia dibuka.
“Di samping mengukuhkan Taman Negeri Rompin sebagai sebuah destinasi utama bagi ekopelancongan, Rainforest Discovery Centre akan menjadi platform untuk kajian pemuliharaan dan pemeliharaan jangka panjang. Pelancong dari serata dunia dapat menikmati dan mempelajari mengenai hutan hujan tropika di negara kita. Pusat ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk rakyat, terutama sekali komuniti Orang Asli. Mereka boleh menjual kraf tempatan dan menjadi pemandu pelancong, juga memperkenalkan budaya mereka kepada para pengunjung semasa perjalanan dan lawatan di sekitar Taman Negeri Rompin,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Selaras dengan prinsip pembangunan mampan ECERDC, pembinaan RDC mengambil kira sensitiviti persekitaran kawasan tersebut. Bagi memastikan pembangunan ini memberikan impak yang minima kepada persekitaran hutan hujan tersebut, bangunan-bangunan baharu tersebut dibina di kawasan tapak bangunan lama yang dirobohkan. Projek tersebut yang bermula pada Ogos 2016 telah disiapkan dan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada 19 September 2019.
Pembangunan di Taman Negeri Rompin adalah selaras dengan konsep R2R ECERDC yang menghubungkan dan mempakejkan kesemua produk, aset dan pembangunan pelancongan daripada hutan hujan ke pesisiran pantai seperti Pantai Hiburan menerusi Tanjong Gemok ke Pulau Tioman yang indah. Ini bagi memastikan ekopelancongan di Pahang akan terus dibangunkan secara mampan untuk meningkatkan kehadiran pelancong serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Wilayah tersebut.
“Di ECER, kami ingin memastikan bahawa Wilayah ini dibangunkan secara holistik dan inklusif. Taman Negeri Rompin mempunyai potensi yang besar. Oleh itu, kami kekal komited dalam memastikan rakyat akan terus mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan. Kami ingin memastikan bahawa generasi akan datang turut dapat menikmati keindahan hutan hujan ini di samping memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam pembangunan sosioekonominya,” kata Encik Baidzawi.
Hadir di majlis pembukaan semula tersebut adalah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Islam; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Mohd. Hizamri bin Mohd Yassin; dan Encik Arizan Ariffin, Pengurus Besar Pelaksanaan Projek di ECERDC. Di majlis tersebut, kerajaan negeri Pahang menandatangani perjanjian bersama Endau Rompin Park Resort Sdn. Bhd. yang akan menjadi pengendali taman tersebut.
Tentang ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.
Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my