Projek-projek Infrastruktur Dilaksanakan untuk Meningkatkan Aktiviti Ekonomi Pasca-COVID-19
KUALA TERENGGANU, 20 OKTOBER 2020: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu akan menumpukan kepada pembangunan aktiviti pertanian dan juga segmen pelancongan sebagai bidang pertumbuhan seterusnya di negeri ini. Usaha ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan kemandirian negara dalam pengeluaran makanan susulan daripada pandemik COVID-19 dan juga untuk memacu sektor pelancongan. Sektor pelancongan adalah salah satu pemacu ekonomi utama yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 tercetus.
Ketersediaan tanah pertanian yang luas di Terengganu menjadikannya salah satu kawasan pertanian utama di ECER. Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019 – 2023 bertujuan untuk memanfaatkan kira-kira 12,000 hektar tanah pertanian. Ini bagi memastikan adanya jaminan makanan yang berterusan serta menjadikan aktiviti pertanian sebagai perniagaan yang menarik dan menguntungkan. Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian aktiviti ternakan, terutama sekali bagi industri penternakan lembu pedaging seperti ‘lembu sado’ dan penternakan kambing tenusu, yang mempunyai permintaan tinggi di dalam dan luar negara.
“ECERDC telah mengenal pasti pelbagai inisiatif untuk meningkatkan sektor pertanian di Terengganu. Strategi penting bagi pertumbuhan perniagaan tani yang transformatif dan inklusif adalah melalui Model Perniagaan Syarikat Induk. Pendekatan ini telah mempercepatkan pemodenan, mempelbagaikan dan membawa kepada peningkatan skala sektor pertanian di wilayah ini,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang diadakan hari ini.
Model Perniagaan Syarikat Induk adalah kerjasama awam-swasta, di mana Kerajaan melalui ECERDC akan melabur dalam infrastruktur yang diperlukan, manakala syarikat dan pakar-pakar yang berkelayakan daripada sektor swasta dilantik untuk menguruskan projek-projek perniagaan tani. Syarikat yang dilantik juga akan melabur dalam teknologi yang diperlukan di samping menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk bakat tempatan.
Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, ECERDC telah melaksanakan beberapa projek ternakan di Terengganu untuk meningkatkan pengeluaran baka haiwan tempatan menerusi pelantikan peladang kontrak dan satelit dalam kalangan penduduk tempatan. Pusat Penternakan Kambing Telaga Papan dan Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Bebiri Kuala Berang merupakan projek-projek penting yang telah mengurangkan kebergantungan pada daging import dan mewujudkan penternakan yang mampan pada skala kecil dan besar.
Di samping itu, ECERDC turut melaksanakan projek Agropolitan Besut-Setiu iaitu sebuah program pembasmian kemiskinan yang bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan terlibat dalam aktiviti pertanian. Selain itu, ECERDC juga menyediakan kemudahan perumahan dan komuniti untuk para peserta dan ahli keluarga mereka. Penternakan biri-biri Dorper merupakan aktiviti utama di projek Agropolitan Besut-Setiu. Kini, projek ini mempunyai hampir 2,000 ekor ternakan di tanah seluas 150 hektar iaitu ladang pembiakan biri-biri Dorper terbesar di Terengganu. Projek ini telah memberi manfaat kepada 85 orang peserta dan juga 340 orang ahli keluarga mereka, sekaligus membolehkan mereka keluar daripada kehidupan di bawah garis kemiskinan. Anggota keluarga juga digalakkan untuk berkecimpung dalam pertanian sekunder berskala kecil seperti memelihara itik dan menanam sayur-sayuran sebagai sumber pendapatan kedua.
Mesyuarat ICC pada hari ini dijalankan secara maya berikutan situasi semasa COVID-19. Ia dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Pelaburan swasta ke dalam sektor pertanian ECER merupakan pemacu utama pembangunan sosioekonomi di ECER. ECER mempunyai tanah yang luas dan sedia untuk digunakan bagi mengusahakan tanaman bernilai tinggi. ECERDC bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan di sektor awam dan swasta untuk menjayakan pelaburan dalam projek pertanian. Kami juga komited untuk membantu para pelabur membuka potensi baharu di wilayah ini melalui penerokaan atau mempelbagaikan peluang baharu dalam sektor perniagaan tani, terutama sekali yang berkaitan dengan penerapan kaedah pertanian berteknologi tinggi dan inovatif,” kata Encik Baidzawi.
Pemacu ekonomi utama lain yang akan mendorong pertumbuhan sosioekonomi di wilayah ini adalah sektor pelancongan. Terengganu sememangnya terkenal dengan destinasi pulau bertaraf dunia yang menawarkan pantai-pantai jernih dan kepelbagaian hidupan marin yang menakjubkan. Bagi meningkatkan aktiviti pelancongan pulau, ECERDC sedang melaksanakan beberapa projek menaiktaraf infrastruktur, seperti pembinaan jeti di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas dan pembinaan telaga tiub di Pulau Lang Tengah.
“Kerajaan melalui ECERDC membuat pelaburan yang besar dalam projek-projek infrastruktur untuk meningkatkan sektor pelancongan. Walaupun projek-projek yang telah dibangunkan setakat ini sememangnya penting, akan tetapi, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi kemampanan sektor pelancongan. Pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam semula jadi di ECER adalah kunci dalam mewujudkan nilai ekonomi di samping menjamin kemampanan sektor ini,” kata Encik Baidzawi.
Selain membangunkan kemudahan pelancongan di Terengganu, ECERDC juga telah ‘mencipta’ destinasi seperti jambatan angkat Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) iaitu sebuah mercu tanda ikonik yang mesti dikunjungi bagi pelancong tempatan dan asing. Jambatan angkat KTCC ialah yang pertama seumpamanya di negara. Ia telah merekodkan kedatangan seramai 700,000 orang pengunjung di antara bulan Ogos hingga Disember tahun lalu.
“Transformasi sosiokonomi pasca pandemik COVID-19 di Terengganu akan dipercepatkan menerusi projek-projek pembangunan berimpak tinggi ini. Sektor pertanian dan pelancongan, kedua-duanya akan menarik pelaburan swasta ke Terengganu. Sekaligus, membawa manfaat sosioekonomi secara langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan dan keusahawanan,” kata Encik Baidzawi.
Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang menarik di ECER. Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (2018 hingga 2025), sasaran pelaburan untuk negeri Terengganu adalah sebanyak RM26 bilion. Daripada jumlah ini, Terengganu telah memperoleh pelaburan komited sebanyak RM1.53 bilion daripada 14 projek, yang seterusnya akan mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan baharu dan kira-kira 300 peluang keusahawanan untuk rakyat. Selain itu, pelaburan sebanyak RM822 juta telah direalisasikan dalam tempoh laporan yang sama.
Dari segi pembangunan modal insan, lebih daripada 6,000 orang penduduk tempatan telah mengambil bahagian dan mendapat manfaat daripada inisiatif ECERDC di bawah program Latihan Akademik empower ECER (4,896 orang) dan juga Kemahiran dan Keusahawanan (1,286 orang). Tambahan lagi, program entrepreneur ECER pula telah membangunkan dan mewujudkan seramai 1,027 orang usahawan. Secara langsung, usahawan-usahawan ini telah menjana lebih 2,300 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti setempat di bawah EMP 2.0.