PROJEK ECERDC DI LAMAN WARISAN KAMPUNG LAUT SOKONG MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN MALAYSIA

TUMPAT, KELANTAN, 3 MEI 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama Kementerian Ekonomi akan menganjurkan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2024: Wilayah Timur di Kuala Terengganu pada 19 Mei 2024 ini. Sidang kemuncak ini merupakan edisi terakhir di peringkat wilayah, membuka jalan kepada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai 2024.

Sidang Kemuncak SDG 2024: Wilayah Timur akan dimulakan dengan acara pra-persidangan (prelude) pertama yang bertemakan “Konservasi Warisan Budaya” di Laman Warisan Kampung Laut, Kelantan dengan kerjasama Majlis Daerah Tumpat dan rakan strategik Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC). Acara ini merupakan program kesedaran mengenai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan fokus kepada sasaran SDG11 (Budaya dan Komuniti Mampan) iaitu melindungi warisan budaya dan semula jadi dunia dan sasaran SDG 8 (Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan yang Baik) iaitu menggalakkan pelancongan yang bermanfaat dan mampan.  

Pada masa yang sama, program tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menarik lebih ramai pengunjung ke Laman Warisan Kampung Laut sekaligus meningkatkan pengetahuan tentang khazanah negara dan budaya tempatan agar usaha untuk melindungi aset warisan negara ini dapat diperkukuhkan.

Inisiatif pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan melibatkan pembinaan Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni oleh ECERDC, serta pemindahan Masjid Kampung Laut yang berusia 400 tahun dari Nilam Puri ke lokasi asalnya di Kampung Laut. Laman Warisan Kampung Laut bukan sahaja menempatkan Masjid Kampung Laut yang bersejarah malah menghidupkan keunikan warisan, seni dan budaya tempatan serta menyediakan platform kepada penduduk untuk mempamer dan memasarkan kraftangan seperti wau, batik dan juadah Kelantan, terutamanya serunding yang sinonim dengan Kampung Laut dan makanan istimewa tempatan lain seperti dodol dan gelembung buaya.

“ECERDC sentiasa komited dalam memulihara dan memelihara khazanah warisan budaya dan alam sekitar di Wilayah ECER. Pemindahan Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya dan pembinaan Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni telah menyediakan platform khusus kepada pengusaha kraftangan, serunding dan juadah tempatan sekaligus mencipta mercu tanda warisan di Kelantan, kata Cik Salida Azizi, Pengurus Besar Bahagian Perancangan Strategik Korporat ECERDC.

Acara pra-persidangan tersebut juga melibatkan sesi perkongsian ilmu mengenai kepelbagaian budaya, perpaduan sosial, perdamaian, keamanan dan pembangunan ekonomi melalui seni bina serta bengkel pembuatan wau dan batik canting yang disertai oleh 60 peserta dari kalangan masyarakat setempat dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Majlis juga diserikan dengan persembahan kebudayaan dikir barat di Laman Warisan Serunding.

Program tersebut turut dihadiri oleh wakil Kementerian Ekonomi, YBrs. Encik Ahmad Azimeer bin Abdul Manaf, Timbalan Pengarah Pusat SDG Negara, YBrs. Tuan Haji Rusydee Bin Haji Abdullah, Ketua Jajahan Tumpat, YBrs. Encik Mohd Aidul Afizie Daud, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kelantan, YBrs. Encik Shukri Mohd Isa, Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, YBrs. Encik Mohd Azwan bin Ab Rahman, Setiausaha Majlis Daerah Tumpat, YBrs. Encik Arizan Arifin, Pengurus Besar Bahagian Pelaksanaan Projek, ECERDC. serta wakil dari Pejabat Tanah Jajahan Tumpat, Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan, Masjid Nurul Hidayah, UMK serta Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).

Dua lagi acara pra-persidangan (Prelude) Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2024: Wilayah Timur akan diadakan di Tasik Chini, Pahang pada 11 Mei dan di KampungStay@ Teluk Buih di Mersing, Johor pada 12 Mei sebelum Sidang Kemuncak di Terengganu berlangsung.

-TAMAT-

MENGENAI ECER AND ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh  enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

MENGENAI MALAYSIA SDG SUMMIT 2024: WILAYAH TIMUR

Malaysia terus komited dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030, yang merangkumi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Kementerian Ekonomi telah diberikan mandat untuk meneraju dan menyelia pelaksanaan SDG di seluruh negara.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2023-2024 adalah satu siri persidangan bertemakan “Sokongan Masyarakat Tempatan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk Malaysia yang Inklusif, Mampan dan Berdaya Tahan,” yang dijalankan secara berfasa melibatkan wilayah-wilayah dalam negara ini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor serta Kerajaan Negeri. Persidangan ini telah diadakan di Wilayah Selatan, Wilayah Utara, serta Sabah dan Sarawak. Sidang Kemuncak Wilayah Timur, anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), merupakan edisi terakhir di peringkat serantau, membuka jalan kepada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Jun atau Julai 2024.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media,
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085 / 017-230 3924
Emel: mazlinda@ecerdc.com.my