USAHA ECERDC MEMULIHARA TASIK CHINI SELARI DENGAN MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG) MALAYSIA

Usaha Konservasi dan Biodiversiti Alam Semulajadi oleh ECERDC bersama Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC-UKM) Memelihara Status

Rizab Biosfera Tasik Chini

 TASIK CHINI, PAHANG, 11 MEI 2024: Program Pra-Persidangan Sidang Kemuncak SDG 2024 Wilayah Timur yang kedua telah dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada hari ini dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC) bertemakan kesedaran mengenai biodiversiti dan ekosistem Tasik Chini.

Tema program ini telah dipilih untuk memupuk kesedaran berkenaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan fokus kepada sasaran SDG 14 (Kehidupan dalam Air) iaitu melindungi dan memulihkan ekosistem dan sasaran SDG 15 (Kehidupan di Darat) iaitu melindungi biodiversiti dan habitat semula jadi.

Peserta program telah diberi pendedahan tentang pentingnya pemuliharaan dan pemeliharaan rizab biosfera Tasik Chini sebagai salah satu usaha menjadikan Tasik Chini destinasi ekopelancongan utama dalam negara dan agar ketersalinghubungan masyarakat Orang Asli dengan ekosistem Tasik Chini tetap terpelihara.

“Inisiatif ECERDC bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan PPTC dalam program semaian teratai di Tasik Chini yang bukan sahaja penting untuk pemuliharaan dan pemeliharaannya, tetapi juga turut membantu masyarakat Orang Asli yang mendiami sekitar Tasik Chini di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput mengekalkan cara hidup mereka” kata Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC.

Program pra-persidangan SDG yang kedua ini melibatkan sesi taklimat berkenaan ekosistem Tasik Chini, serta aktiviti eksplorasi bot dan denai hutan di persekitaran Makmal Air Tawar PPTC. Ia juga melibatkan perkongsian ilmu dari Orang Asli suku kaum Jakun dengan peserta yang juga terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Acara di Tasik Chini ini adalah selari dengan usaha ECERDC dalam memberi tumpuan kepada konservasi dan biodiversiti Tasik Chini termasuk aktiviti pemulihan bagi mengekalkan kelestarian serta mengembalikan populasi teratai merah jambu (Nelumbo nucifera) di kawasan asalnya, menggunakan kaedah penanaman teratai terapung atau “flotilla”. Kaedah penanaman ini telah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Emas untuk Anugerah Inovasi Antarabangsa di Ekspo Teknologi Malaysia 2023 (MTE2023) dan Anugerah Perak di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX2023).

Usahasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah berjaya memastikan Tasik Chini mengekalkan status rizab biosfera seperti yang telah diumumkan di Perancis pada 13 Jun 2023 semasa Mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa ‘Man and the Biosphere Programme’ kali ke-35 (ICC MAB35).

Program hari ini telah dihadiri oleh YBrs. Puan Salina Binti Muhamad Sali Luddin, Timbalan Pengarah 1, Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli, Kementerian Ekonomi, YBrs. En. Ahmad Azimeer Bin Abdul Manaf, Timbalan Pengarah 2, Pusat SDG Negara, ​YBrs. Profesor Datin. Ts. Dr. Mimi Sakinah Binti Abdul Munaim, Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri & Masyarakat UMPSA dan Profesor Madya Dr. Wan Mohd Aizat Bin Wan Kamaruddin, Pengarah, Pusat Pengurusan Makmal Alami & Fizikal UKM (ALAF-UKM). Selain daripada pelajar-pelajar UMPSA, acara ini juga telah dihadiri oleh wakil Orang Asli kaum Jakun dari Tasik Chini, pegawai ECERDC dan PPTC.

Acara terakhir Pra-Persidangan Sidang Kemuncak SDG 2024 Wilayah Timur akan diadakan di KampungStay@ Teluk Buih di Mersing, Johor pada 12 Mei 2024 diikuti dengan lawatan teknikal ke Setiu Wetlands dan Kampung Pelancongan pada 18 Mei sebagai pembuka tirai kepada Sidang Kemuncak SDG ECER yang akan berlangsung pada 19 Mei 2024 di Kuala Terengganu.

TAMAT

MENGENAI ECER AND ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

MENGENAI MALAYSIA SDG SUMMIT 2024: WILAYAH TIMUR

Malaysia terus komited dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030, yang merangkumi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Kementerian Ekonomi telah diberikan mandat untuk meneraju dan menyelia pelaksanaan SDG di seluruh negara.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2023-2024 adalah satu siri persidangan bertemakan “Sokongan Masyarakat Tempatan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk Malaysia yang Inklusif, Mampan dan Berdaya Tahan,” yang dijalankan secara berfasa melibatkan wilayah-wilayah dalam negara ini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor serta Kerajaan Negeri. Persidangan ini telah diadakan di Wilayah Selatan, Wilayah Utara, serta Sabah dan Sarawak. Sidang Kemuncak Wilayah Timur, anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), merupakan edisi terakhir di peringkat serantau, membuka jalan kepada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Jun atau Julai 2024.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media,
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
Emel: mazlinda@ecerdc.com.my