PROJEK TRANSFORMASI PANTAI OLEH ECERDC BERJAYA TINGKATKAN DAYA TARIKAN PANTAI HIBURAN ROMPIN

Penaiktarafan Kemudahan Tarik Lebih Ramai Pelancong ke Pantai Hiburan Rompin

KUALA LUMPUR, 14 MEI 2024: Pantai Hiburan Rompin telah menjadi tarikan pelancongan utama di Rompin, Pahang, sejak ia dibuka semula pada 6 April 2024 yang lalu, dengan siapnya projek naik taraf kemudahan pantai bertujuan untuk merangsang industri pelancongan di daerah Rompin oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Daya tarikan pelancongan di Pahang telah dipertingkat dengan penambahbaikan fasiliti serta kemudahan di Pantai Hiburan Rompin. Setinggi penghargaan kepada ECERDC atas inisiatif-inisiatif pembangunan projek infrastruktur pelancongan yang telah menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelancong di Pahang. Penaiktarafan Pantai Hiburan Rompin adalah tepat pada masanya kerana Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama yang memenuhi piawaian antarabangsa di Wilayah ECER akan dibangunkan di sini,” kata YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, semasa mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Koordinasi ECER (ICC) Pahang, di sini, hari ini.

Pembangunan semula Pantai Hiburan Rompin oleh ECERDC melibatkan pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket serta kemudahan awam yang lain. Projek ini telah diserahkan kepada Majlis Daerah Rompin pada 5 April 2024. ECERDC juga sedang menaiktaraf Pusat Konservasi & Penerangan Penyu (PKPP) di Cherating, Pahang, yang dijangka siap pada bulan April 2025, selain pemuliharaan bangunan warisan di Pekan yang dijadualkan siap pada suku ketiga tahun 2024.

“Pembangunan kawasan luar bandar di Wilayah ECER sebagai destinasi pelancongan adalah antara inisiatif utama ECERDC dalam merangsang pembangunan sosioekonomi mampan dengan menggalakkan pelancongan domestik. Ia secara tidak langsung membolehkan masyarakat tempatan mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan pelancongan,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Turut hadir di mesyuarat adalah Ahli Jawatankuasa ICC Pahang, YB Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YH Dato’ Fadzilla bin Salleh, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, YH Dato’ Hamdan bin Hussin, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan YBhg. Dato’ Baidzawi bin Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Apabila siap kelak, Pusat Konservasi & Penerangan Penyu (PKPP) di Cherating, Pahang akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendaratan penyu, penyu bertelur, serta kadar penetasan telur, sekaligus menjadi daya tarikan untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong. Pada masa yang sama, inisiatif pemuliharaan bandar bersejarah Pekan dengan menggabungkan elemen seni bina diraja dan tempatan bukan sahaja memberi nafas baharu kepada struktur warisan dan landskap tepi sungai, tetapi juga memberi manfaat berterusan kepada penduduk tempatan dengan meningkatkan bilangan pelawat domestik dan antarabangsa ke Pekan serta ke negeri Pahang.

Dalam mesyuarat tersebut, Ahli Jawatankuasa ICC Pahang juga diberikan taklimat mengenai pencapaian ECERDC dalam merealisasikan pelaburan berjumlah RM8.2 bilion dari Januari 2023 hingga April 2024 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Selain itu, Ahli Jawatankuasa ICC Pahang juga telah dimaklumkan berkenaan status projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini. Projek ini akan memenuhi keperluan pelabur sedia ada dan baharu dengan menyediakan bekalan air tambahan dan sumber air alternatif ke kawasan industri Gebeng dan Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

“ECERDC akan terus mempromosikan kelebihan negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan. Malaysia memiliki kelebihan dengan adanya perjanjian perdagangan bebas, kos yang lebih rendah dan rantaian bekalan yang baik, yang bakal membuka peluang perdagangan dan pelaburan untuk negara, termasuk di Wilayah ECER. Penaiktarafan berterusan rangkaian pengangkutan seperti pembinaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dilaksanakan bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehcapaian di kawasan tersebut, malah meningkatkan daya tarikan negeri Pahang kepada pelabur-pelabur berpotensi,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi.

TAMAT

MENGENAI ECER AND ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media,
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
Emel: mazlinda@ecerdc.com.my