‘RAINFOREST DISCOVERY CENTRE’ (RDC) PETA BAKAL TINGKAT EKOPELANCONGAN DI TAMAN NEGARA JOHOR ENDAU-ROMPIN

Projek Fertigasi Cili IPR-INTAN di Segamat sasar basmi kemiskinan golongan miskin, miskin tegar dan masyarakat B40

ISKANDAR PUTERI, 2 OKTOBER 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencipta satu lagi destinasi pelancongan di Taman Negara Johor Endau- Rompin (TNJER) Mersing, Johor dengan siapnya ‘Rainforest Discovery Centre’ Peta (RDC Peta). RDC di Kampung Peta ini merupakan pusat kajian hutan hujan kedua yang berjaya disiapkan oleh ECERDC selepas pusat kajian hutan hujan pertama iaitu Kinchin Rainforest Discovery Centre siap pada tahun 2019 di Taman Negeri Rompin.

RDC Peta dilengkapi dengan bangunan kompleks pelawat, pejabat pengurusan, kemudahan tandas awam, surau, dewan serbaguna dan kafetaria. Ia bakal menjadi pusat sehenti untuk pengunjung mendapatkan informasi sebelum meneroka dan menjalankan aktiviti di TNJER.

TNJER adalah sebahagian daripada Taman Negara Endau-Rompin (TNER), taman negara kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Taman Negara yang merangkumi keluasan 80,702 hektar merentasi dua negeri, iaitu Pahang dan Johor. Ia adalah antara tarikan ekopelancongan utama negara.

Menteri Besar Johor YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi semasa mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor di sini, hari ini, memuji ECERDC atas penyiapan projek-projek di Mersing termasuk Peta Rainforest Discovery Centre di Taman Negara Johor Endau-Rompin dan KampungStay@Teluk Buih yang kini semakin popular di kalangan pelancong.

Beliau juga menyeru agensi-agensi Kerajaan Negeri untuk bekerjasama rapat dengan ECERDC untuk memastikan Mersing dan Segamat akan menjadi hab pertanian di masa akan datang bagi menyokong usaha meningkatkan keterjaminan makanan.

“Pembangunan Peta Rainforest Discovery Centre di Taman Negara Johor Endau-Rompin akan mengukuhkan daya tarikan taman ini sebagai destinasi ekopelancongan dan menjadi platform untuk pelaksanaan inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dalam jangka masa panjang. Ia juga akan mewujudkan limpahan manfaat kepada penduduk setempat khususnya komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan melalui penciptaan pekerjaan dan peluang keusahawanan

dalam sektor pelancongan sebagai vendor kraf tempatan atau sebagai pemandu pelancong,” ujar kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

“Apabila kerja-kerja penaiktarafan jalan dari persimpangan Kahang ke Kampung Peta siap, kedatangan pelancong dijangka akan meningkat dan ini akan merangsang ekonomi tempatan. Kami juga berharap dapat menarik para pengusaha syarikat pelancongan untuk melabur dan beroperasi di kawasan ini,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi.

Pembangunan RDC Peta di TNJER adalah selaras dengan konsep ‘Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ ECERDC atau ‘Rainforest to Reef’ (R2R) yang menjalinhubung dan mengumpulkan semua produk pelancongan dan aset-aset dari hutan hujan ke pantai seperti Tanjung Penyabong Waterfront dan KampungStay@Teluk Buih yang menyediakan pengalaman bercuti dalam suasana kampung yang mengasyikkan untuk para pelancong. RDC Peta akan diserahkan kepada Perbadanan Taman Negara Johor untuk pengoperasian pada November 2023.

Ahli-ahli ICC Johor turut diberi taklimat tentang projek fertigasi cili di Mukim Sermin di bawah program entrepreneur ECER yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Segamat dan Grasicili Farm Sdn. Bhd. sebagai Syarikat Induk. Seramai sepuluh (10) peserta daripada kalangan golongan B40 telah dilantik dan mula menjalankan penanaman pada Ogos 2023 dan tuaian pertama dijangka dapat dikumpulkan pada November 2023.

ECERDC juga sedang menjalankan program fertigasi cili berskala komersial di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), IPR-INTAN yang akan dimulakan tidak lama lagi di Segamat. ECERDC, bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Johor telah mengenal pasti kawasan tanah yang sesuai untuk projek ini di Segamat dan projek tersebut bakal dilaksanakan menggunakan model Syarikat Induk. Projek ini akan membantu mengatasi isu kemiskinan di kalangan pekerja yang akan mendapat gaji tetap yang melebihi gaji minimum.

Ahli-ahli ICC Johor juga telah dimaklumkan tentang status perkembangan projek-projek ECERDC yang lain termasuk projek Lembah Tenusu Jemaluang yang dijangka siap pada suku ketiga 2024 dan pemilihan penyewa bagi Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing.