USAHA BERSEPADU RAIH RM10 BILION PELABURAN KOMITED KE ECER PADA TAHUN 2023

PUTRAJAYA, 25 OKTOBER 2023: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah berjaya mencapai RM10 bilion pelaburan komited setakat September 2023. Dalam tempoh yang sama, pelaburan bernilai RM2.6 bilion berjaya direalisasikan. Pelaburan ini merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian serta minyak, gas & petrokimia (OGP) yang berpotensi mewujudkan lebih 4,500 pekerjaan baharu dan lebih 600 peluang perniagaan di ECER, sekaligus menjanjikan prospek ekonomi yang lebih cerah bagi rantau ini. 

Berlandaskan rangka kerja ekonomi MADANI, komitmen dan usaha ECERDC untuk mengetengahkan ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan melibatkan pelaksanaan infrastruktur strategik dan program pembangunan bakat yang dipacu oleh industri. Dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan rakan kongsi strategik lain, ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahcara pelaburan baharu ke ECER dan memastikan pelaburan dapat direalisasikan. 

“ECERDC mempunyai kelebihan lokaliti dan hubungan kukuh dengan kerajaan negeri ECER dan pemain industri tempatan untuk menarik pelaburan dan memudahcara urusan para pelabur secara menyeluruh (end-to-end facilitation). Pelaburan swasta akan menjana peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan selaras dengan semangat Malaysia MADANI dalam mempertingkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas menghadiri Mesyuarat Majlis ECER yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Anggota Majlis, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan yang baharu. Mesyuarat turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, YM Tan Sri Tengku Muhammad Taufik bin Tengku Kamadjaja Aziz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, dan YBrs. Dr Chia Song Kun, Pengerusi Eksekutif QL Resources Berhad.

Kejayaan ECERDC dalam menarik pelaburan swasta adalah hasil pelaksanaan projek infrastruktur strategik oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ketersambungan dan rangkaian pengangkutan, sekali gus meningkatkan daya saing rantau ini sebagai sebuah destinasi pelaburan. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana yang besar untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur strategik yang telah mendorong kemasukan pelaburan swasta ke ECER. Antara projek yang dilaksanakan termasuk pembinaan Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road), pembangunan taman industri bertema, projek paip agihan air Kemaman-Gebeng, pembesaran Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan laut dalam dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Sejak penubuhan ECERDC, pelaburan swasta telah berjaya mengurangkan migrasi keluar dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER serta memberikan rangsangan sosio-ekonomi kepada wilayah yang masih ketinggalan. Kerjasama berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat perlu bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi rantau ini untuk memberi manfaat kepada rakyat,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.

Seiring dengan perkembangan global industri Kenderaan Rekreasi (RV) sebagai konsep pelancongan gaya hidup baharu, ECERDC mensasarkan untuk menjadikan ECER sebagai destinasi baharu industri pembuatan dan pemasangan RV bagi meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan RV terkemuka di ASEAN serta mempromosikan rantau ini kepada peminat RV. ECERDC juga mensasarkan untuk menarik pelabur asing untuk membangun dan mengendalikan taman RV bertaraf antarabangsa di lokasi yang telah dikenal pasti di ECER.

Ketika mesyuarat tersebut, Anggota Majlis turut dimaklumkan mengenai projek dan program yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC di ECER. Antaranya termasuk usaha untuk menangani isu keselamatan makanan negara di mana ECERDC telah membentangkan inisiatif agrofood@ECER terutamanya projek Lembah Tenusu ECER bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran susu segar negara.

Melangkah ke hadapan dengan Pelan Induk ECER 3.0

ECERDC sedang memuktamadkan strategi pembangunan untuk tahun 2025 hingga 2030 di bawah Pelan Induk ECER (EMP) 3.0 yang akan memberi tumpuan kepada enam kelompok ekonomi iaitu pembuatan, minyak, gas & petrokimia (OGP), perniagaan tani, pelancongan, pembangunan modal insan serta logistik dan perkhidmatan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di rantau ini sehingga tahun 2030.

TAMAT