Greenverse Bina Loji Pengurusan Sisa Berjadual Bersepadu yang Pertama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Taman Biopolimer Kerteh
PUTRAJAYA, 16 NOVEMBER 2021: Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) telah menandatangani tawaran penerimaan untuk menyewa tanah seluas 50 ekar daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) untuk membangunkan loji pengurusan sisa berjadual bersepadu di Taman Biopolimer Kerteh (KBP), dengan jumlah pelaburan bernilai RM220 juta.
GVSB telah membina reputasi dalam penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian profesional untuk pengurusan sisa. Ia adalah syarikat yang pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi FEMD TECH (Film Evaporation, Molecule Distillation Technology) dalam projek pemulihan minyak dan pelarut. Syarikat GVSB ditubuhkan pada tahun 2019 oleh Dato’ Alex Heng Sia Kwang, yang juga Pengarah GVSB.
Pelaburan oleh GVSB di KBP, yang dibangunkan dan diuruskan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), akan menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor Minyak, Gas dan Petrokimia di Terengganu. Loji yang disasarkan beroperasi pada 1 Januari 2025 ini dijangka dapat membantu industri di ECER khususnya di KBP, Kemaman dan Kerteh untuk mengurangkan kos pelupusan sisa berjadual dan merawat sisa berjadual dengan lebih cekap menerusi kaedah yang mampan dan bertanggungjawab daripada segi sosial. Loji ini juga akan melengkapkan ekosistem di Kerteh dengan menawarkan perkhidmatan pengurusan sisa yang menyeluruh daripada analisis, rawatan, kitar semula, pemulihan dan logistik, sehingga pelupusan akhir sisa berjadual.
Pelaburan ini dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi kategori profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal. Ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Majlis menandatangani perjanjian telah diadakan pada 14 November 2021. Tawaran penerimaan ini telah ditandatangani oleh Datuk Hishammuddin Hasan, Pengerusi GVSB manakala LTAWNT diwakili oleh Setiausaha Lembaga, En. Nor Azam bin A. Rahman @ Yusof. Majlis telah disaksikan oleh YBM Dato’ Tengku Hassan Bin Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Terengganu, Setiausaha Negeri Terengganu YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Bin Tengku Abdul Jalil dan En. Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
KBP, hab bio-ekonomi dan kimia khusus ECER, meliputi kawasan seluas 140 hektar dengan kedua-dua Fasa 1 dan 2 sudah diduduki sepenuhnya. Bagi menampung permintaan yang meningkat daripada para pelabur, pembangunan Fasa 3 telah siap pada tahun lalu. Menerusi pelaburan terbaru ini, jumlah pelaburan di KBP telah meningkat kepada RM5.6 bilion dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat.