USAHAWAN PANTAI TIMUR TEROKA PASARAN GLOBAL: PROMOSI PRODUK TEMPATAN DI EKSPO CHINA-ASEAN KE-20 DI NANNING, CHINA

NANNING, 19 SEPTEMBER 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memanfaatkan platform Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) untuk membantu usahawan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menembusi pasaran negara China yang lumayan.

“CAEXPO memberi peluang kepada usahawan dari Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa. Melalui kerjasama dengan SIRIM, Maybank dan Agrobank, ECERDC memainkan peranan dalam memastikan usahawan ECER dapat meningkatkan produktiviti mereka untuk berjaya. ECERDC turut membantu usahawan dengan menguruskan penghantaran produk usahawan yang mengambil bahagian ke Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning di Guangxi, China,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Pavilion Malaysia di CAEXPO telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 17 September 2023. Selepas pelancaran, YAB Perdana Menteri telah dibawa melawat reruai usahawan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan YB Tuan Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Pada tahun ini, sembilan (9) usahawan dari ECER telah menyertai pameran CAEXPO. Antara produk yang dipromosikan ialah keropok ikan, sos masakan, biskut, minyak kelapa dara, rempah ratus dan pastri sejuk beku. Sejak tahun 2015, seramai 30 usahawan ECER telah menyertai CAEXPO dan berjaya mengeksport produk bernilai lebih RM12.5 juta. Ekspo tahun ini merupakan CAEXPO fizikal pertama sejak tahun 2019. Sewaktu pandemik COVID-19 dari tahun 2020 hingga 2022, usahawan ECER menyertai CAEXPO secara dalam talian.

Antara syarat bagi usahawan yang mengambil bahagian termasuk berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan jualan tahunan melebihi RM600,00.00, mempunyai kemudahan pengeluaran produk sendiri, mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran bagi tujuan eksport serta produk telah pun menembusi pasaran tempatan dan dipasarkan di pasar raya tempatan.

“Objektif ECERDC menyertai CAEXPO adalah untuk meneroka pasaran negara China dan membolehkan usahawan bertapak dalam pasaran yang luas ini melalui pendekatan langsung kepada bakal pengimport menerusi pemadanan perniagaan yang dianjurkan oleh MATRADE sepanjang pameran CAEXPO berlangsung serta mengukuhkan hubungan dengan pasaran negara China terutamanya usahawan yang sebelum ini pernah menyertai CAEXPO secara dalam talian. Kami berharap melalui CAEXPO, usahawan ECER dapat mengembangkan lagi pasaran mereka dari peringkat domestik ke pasaran antarabangsa dan mempromosikan jenama ECER di peringkat antarabangsa. Ini juga akan membuka peluang kepada usahawan ECER untuk mendapatkan akses mempromosikan produk halal kepada penduduk Islam yang ramai di China,” kata YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC yang mengetuai delegasi ke CAEXPO Nanning.

“Saya berasa gembira kerana syarikat kami dapat mengambil bahagian untuk kali kedua. Kami telah mendapat banyak pengetahuan dan pendedahan semasa kali pertama menyertai CAEXPO pada tahun 2017 dan kami berharap dapat memperoleh tempahan daripada pembeli dan pengimport di China kali ini,” kata Ahmad Aslam Muhammad, Pengurus Kejuruteraan Kilang dan Teknikal, MH Mohd Industries Sdn. Bhd.

Selain daripada pameran dan jualan produk tempatan oleh usahawan ECER, ECERDC turut mengambil peluang untuk mempromosikan peluang pelaburan di ECER kepada para pelabur yang berkumpul di Nanning sempena CAEXPO dengan mengambil bahagian dan menyampaikan pembentangan kepada lebih 250 peserta dalam forum First China ASEAN Twin Parks, forum CAEXPO ASEAN Industrial Park dan forum China ASEAN Port City Networking Forum. Sebelum menghadiri CAEXPO ke-20 di Nanning, wakil ECERDC turut mengambil peluang melawat pelabur berpotensi di Zhaoqing, Guangdong sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ECERDC untuk mempromosikan peluang pelaburan di ECER kepada pelabur di China, yang merupakan sumber terbesar Pelaburan Langsung Asing (FDI) untuk ECER.

Sewaktu di Nanning, dalam usaha menarik pelaburan baharu, ECERDC turut berkesempatan melawat pelabur berpotensi termasuk Guangxi Investment Group dan Guangxi Bossco Environmental Protection Technology Co., Ltd. di Guangxi untuk perbincangan lanjut selepas lawatan mereka ke ECER sebelum ini.

CAEXPO adalah salah satu acara dagang terbesar di China yang diadakan setiap tahun sejak 2004. Ekspo ini menjadi platform kepada usahawan PKS dari negara ASEAN, termasuk usahawan ECER untuk mewujudkan rangkaian pemasaran di China.

Pengunjung CAEXPO terdiri daripada komuniti perniagaan dan komuniti tempatan serta pengunjung negara-negara lain yang berminat untuk mendapatkan produk ASEAN dan meneroka dengan lebih mendalam peluang pasaran di ASEAN.

TAMAT