YAB PERDANA MENTERI RASMI LAMAN WARISAN KAMPUNG LAUT, TARIKAN PELANCONGAN TERBAHARU NEGERI KELANTAN

TUMPAT, KELANTAN, 9 SEPTEMBER 2022 – Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah merasmikan Laman Warisan Kampung Laut, yang merupakan sebuah tarikan pelancongan terbaharu di negeri Kelantan, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan melibatkan pembinaan Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni, serta pengembalian Masjid Kampung Laut yang berusia 400 tahun dari Nilam Puri ke lokasi asalnya. Projek ini telah menjadikan Kampung Laut sebagai sebuah destinasi wajib singgah di negeri Kelantan dan merancakkan kegiatan ekonomi berasaskan pelancongan di kawasan setempat, di samping memelihara kesenian, warisan, budaya dan kemegahan seni bina penduduk Kampung Laut.

“Pelancongan merupakan salah satu sektor yang menjadi tonggak kepada pemulihan ekonomi di Wilayah ini. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan telah mempergiatkan usaha memulihkan sektor pelancongan negara, dan penyempurnaan projek ini adalah lambang komitmen Kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat Kelantan,” kata YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sewaktu majlis perasmian yang diadakan di Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat, selepas Mesyuarat Majlis ECER.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, aspek unik yang diterapkan dalam pembangunan semula Kampung Laut ini ialah perhatian khusus yang diberikan kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan masjid kayu tertua di negara ini yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Beliau turut memaklumkan bahawa ECERDC dan Kerajaan Negeri Kelantan sedang berusaha untuk mencalonkan Masjid Kampung Laut sebagai sebuah Monumen Kebangsaan dan menyenaraikannya sebagai tapak warisan dunia di bawah UNESCO.

Majlis perasmian tersebut disaksikan oleh Ahli-ahli Majlis ECER termasuk keempat-empat Menteri Besar negeri negeri Wilayah ECER iaitu YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan; YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang dan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

Turut hadir, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBrs. Dr Chia Song Kun, Pengerusi Eksekutif QL Resources Berhad, YBhg. Datuk Seri Asri Hamidin@Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan YBhg. Datuk Seri Saiful Anuar bin Lebai Husen, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Projek-projek yang bakal dilaksanakan oleh ECERDC termasuklah pembinaan Jambatan Palekbang yang akan melengkapkan Pembangunan Semula Kampung Laut serta merangsang aktiviti pelancongan di kawasan setempat. Jambatan tersebut akan menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan Tumpat ke Kota Bharu, sekaligus dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kesalinghubungan. Apabila siap kelak, ia dijangka akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan baharu, khususnya di jajahan Tumpat.

Majlis Pertukaran Dokumen Pasca Mesyuarat Majlis

Ahli-ahli Majlis ECER turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen di antara ECERDC dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority – MDA), dan juga di antara ECERDC dan Yayasan PETRONAS.

Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara ECERDC dan MDA adalah bagi meningkatkan lagi peluang pelaburan, terutama dalam pembuatan peranti perubatan di taman-taman perindustrian ECERDC. Pada majlis tersebut, MDA telah diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, En. Ahmad Shariff Hambali, manakala ECERDC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi.

YBhg. Dato’ Baidzawi berkata, majlis pertukaran dokumen hari ini adalah hasil usaha berterusan ECERDC untuk mempromosikan ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan yang kompetitif. Menurut beliau, “Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara ECERDC dan MDA ini diharap akan mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua belah pihak bagi menarik pelaburan baharu di dalam pembuatan peranti perubatan di Wilayah ECER, manakala pertukaran dokumen perjanjian di antara ECERDC dan Yayasan PETRONAS pula diharap akan mengukuhkan sokongan berterusan Yayasan PETRONAS terhadap program ECER MEKAR.”

Program bersama Yayasan PETRONAS akan memberi manfaat kepada 600 orang pelajar untuk program akademik di tiga (3) daerah, dan 1,880 usahawan bagi program latihan kemahiran dan pembangunan keusahawanan.

“Kami amat menghargai sokongan berterusan yang diberikan oleh Yayasan PETRONAS kepada program pembangunan modal insan ECERDC kerana pendidikan, khususnya buat para pelajar daripada keluarga miskin kekal menjadi keutamaan kami dalam membantu memecahkan kitaran kemiskinan. Kami juga berterima kasih kepada Yayasan PETRONAS kerana menyokong pelaksanaan program latihan kemahiran dan keusahawanan ECERDC kerana program ini telah membantu rakyat untuk bangkit semula selepas pandemik,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi.