KERJASAMA ECERDC – SIRIM BERJAYA BANGUNKAN USAHAWAN BERDAYA SAING

Usahawan program entrepreneur ECER-SIRIM Zon Terengganu catat jualan tahunan sebanyak RM24.9 juta setahun selepas menyertai program

KUALA TERENGGANU, 19 OGOS 2022: Seramai 75 orang usahawan program entrepreneur ECER-SIRIM yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebagai agensi pelaksana berjaya mencatatkan jualan tahunan kumulatif sebanyak RM24.9 juta setahun, meningkat 47% berbanding RM16.9 juta sebelum menyertai program.

Para usahawan tersebut telah menerima sijil graduasi daripada Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah dalam majlis graduasi yang diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.

Program entrepreneur ECER-SIRIM yang telah dilaksanakan sejak tahun 2013 ini memberi bimbingan dan latihan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menambahbaik kualiti produk, pelabelan dan penjenamaan, pensijilan Halal, serta pengurusan kewangan dan pasaran. Ini adalah bagi memastikan para usahawan dapat meningkatkan lagi keupayaan untuk mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Setakat ini, program entrepreneur ECER-SIRIM telah dan masih membimbing seramai 1,064 usahawan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan 306 peserta adalah dari negeri Terengganu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 170 syarikat telah memperoleh persijilan HALAL.

“Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM2.4 juta dari tahun 2015 hingga 2021 untuk program entrepreneur ECER-SIRIM. Pelaburan Kerajaan ke atas program ini telah memberi pulangan 3.4 kali ganda daripada nilai pelaburan. Melihatkan kejayaan ini, program entrepreneur ECER-SIRIM ini ternyata telah berjaya membantu para usahawan untuk mengembangkan perniagaan. Kerajaan sentiasa menyokong program keusahawanan yang membangunkan usahawan-usahawan sedia ada supaya mereka mampu bersaing dalam situasi ekonomi yang mencabar. Saya berharap usaha ini dapat diteruskan supaya produk-produk tempatan dapat dieksport ke luar negara seterusnya memberi impak yang positif kepada perkembangan ekonomi negara,” kata YB Dato’ Indera Mohd Shahar dalam ucapan beliau.

Timbalan Menteri Kewangan I hadir di Majlis Penyampaian Sijil Graduasi Program entrepreneur ECER-SIRIM Zon Terengganu dalam rangka lawatan Bajet 2023 ke negeri Terengganu. Turut hadir ialah Puan Rafidah Mokhdar, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rekabentuk Pembungkusan dan Keselamatan SIRIM Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat berkata, ECERDC amat mengutamakan pembangunan para usahawan kerana usahawan tempatan memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat.

“ECERDC turut memudahcara penyertaan usahawan ECER dalam misi-misi perdagangan dan promosi antarabangsa, seperti Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) untuk membantu mereka menembusi pasaran global. Walaupun sewaktu pandemik, usaha untuk membantu usahawan melebarkan jaringan perniagaan tetap diteruskan melalui sesi padanan perniagaan secara atas talian dengan kerjasama SIRIM dan MATRADE. Hasilnya, beberapa syarikat usahawan di bawah program entrepreneur ECER-SIRIM dari negeri Terengganu iaitu Syarikat Tenang Resepi, Hasan Majid dan Softa Marketing Sdn. Bhd. telah berjaya mendapat tempahan dengan nilai jualan keseluruhan RM600,000.00 setahun,” kata Dato’ Baidzawi.

ECERDC turut bekerjasama dengan Maybank dan Agrobank di bawah program entrepreneur ECER-Maybank dan entrepreneur ECER-Agrobank untuk menyediakan akses yang lebih mudah kepada para usahawan mendapatkan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“SIRIM Berhad selaku agensi yang berteraskan kepada sistem pengurusan dan persijilan kualiti sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan pengeluaran produk para usahawan supaya produk-produk yang dihasilkan mencapai standard pasaran tempatan dan juga antarabangsa. Melalui siri bimbingan modal insan, audit pengurusan, audit pengeluaran, pembangunan penjenamaan dan pelabelan, program entrepreneur ECER-SIRIM telah membantu dalam peningkatan kualiti pengeluaran dan pemasaran atau sekurang-kurangnya meningkat jualan kepada yang lebih baik,” kata YBhg Dato’ Indra Dr. Ahmad Sabirin Bin Arshad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM dalam ucapan yang dibacakan oleh Puan Rafidah.

Usahawan yang menyertai program entrepreneur ECER-SIRIM akan dinilai tahap perniagaan, produk yang dihasilkan dan kemampuan pengeluaran sebelum dikelaskan mengikut kelayakan sama ada dalam kumpulan Mikro atau PKS dan persediaan permohonan persijilan MeSTI dan HALAL.