2/25/2013 — Utusan Malaysia
RAUB 25 Feb. – Sebanyak 100 murid termasuk anak Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Satak di sini menyertai program Empower Prihatin apabila rambut mereka digunting secara percuma oleh peserta Empower yang diadakan di sekolah itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, program itu mendapat sambutan baik daripada pihak sekolah dan ibu bapa kerana langkah tersebut sebagai sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, golongan ibu bapa yang paling gembira kerana mereka dapat menjimatkan wang, selain para guru yang mahukan muridnya kelihatan kemas dan mematuhi peraturan sekolah.
“Program itu merupakan gabungan Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dengan aktiviti khidmat masyarakat yang mana para peserta berpeluang menunjukkan kemahiran mereka menggunting rambut murid terbabit,” katanya di sini, baru-baru ini.
Program itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Aziz Kiram yang disertai para guru dan ibu bapa sekolah itu.
Jebasingam berkata, bagi peserta Empower pula, langkah itu memberikan peluang kepada mereka memanfaatkan kemahiran yang baharu diperoleh dan pada masa sama mempromosikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, seorang peserta program tersebut, Jamiah Nordin dipilih sebagai peserta terbaik dalam kalangan para peserta program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Raub.
Katanya, dia memilih program itu dengan mengikuti kemahiran mendandan rambut yang bertujuan mahu meningkatkan pendapatan keluarganya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur menyertai program itu kerana berjaya mengubah kehidupan keluarga dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM500 ke atas sebulan.
“Saya gembira kerana perniagaan itu yang dibuat secara kecil-kecilan mendapat sambutan baik daripada para pelanggan termasuk rakan dan jiran,” ujarnya.