Mudahkan usahawan sewa premis

2/19/2013 — Utusan Malaysia

KUALA LIPIS 18 Feb. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta mengutamakan kemudahan kepada peserta kursus keusahawanan Program Empower menyewa premis bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, langkah itu membolehkan golongan tersebut meneruskan perniagaan di samping menikmati kadar sewa premis yang tidak membebankan.
Menurutnya, para usahawan di bawah program kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) boleh memohon pinjaman kewangan daripada agensi kerajaan bagi dijadikan modal perniagaan.

“Kerajaan negeri berasa rugi jika usahawan terbabit masih belum memulakan operasi kerana ketiadaan premis sesuai serta kekurangan wang untuk memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sumathi Collections Boutique di pekan Benta di sini semalam.