MALAYSIAN Agrifood Corporation Bhd, syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd
yang terbabit dalam rangkaian bekalan makanan, membina dua lagi pusat
penghasilan dan pembungkusan makanan bersepadu di Pahang.
Terletak di Lembah Bertam, Cameron Highlands dan Lanchang, pusat pemprosesan
berkenaan adalah antara 19 Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan
Pembungkusan dan Pusat Pemasaran Bersepadu di bawah rancangan
pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Kedua-duanya akan menyertai kemudahan sedia ada di Bukit Raja, Cameron
Highlands.
Sekretariat ECER dalam kenyataan di Kuala Lumpur berkata, ketiga-tiga pusat
pemprosesan makanan itu akan menyediakan perkhidmatan tambah nilai selepas
penuaian bagi memungut, mengumpul, memproses, mengasing, menggred,
membungkus dan mengedar untuk keselamatan, kualiti dan kemampanan makanan
yang lebih baik.
Dengan penubuhan pusat itu, katanya, Malaysian Agrifood berhasrat mengubah
rangkaian pengurusan dan pengagihan bekalan makanan negara, bagi mewujudkan
nilai pada setiap tahap dalam rangkaian bekalan makanan.
Ketua Eksekutif Malaysian Agrifood, Azizi Meor Ngah, berkata syarikat itu
diwujudkan untuk menyokong sektor pertanian Malaysia dan rangkaian bekalan
makanan melalui usaha kerjasama bagi memastikannya berada pada kedudukan
yang baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran utama.
“Hab bekalan makanan itu akan menyediakan platform berkesan bagi mengurus
perniagaan kami dan memastikan penghantaran hasil yang segar kepada pelanggan
secara berkesan dan tepat.
“Pusat tambah nilai itu beroperasi sejajar dengan standard keselamatan makanan
seperti SALM, HACCP dan GlobalGAP,” katanya.
GlobalGAP adalah sebuah organisasi yang menetapkan standard bebas untuk
pensijilan produk pertanian di seluruh dunia sementara HACCP adalah pendekatan
teratur dan sistematik bagi merancang, mengawal dan merekod penghasilan dan
pengedaran makanan selamat.
Sementara itu, Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) adalah program
dilaksanakan Jabatan Pertanian bagi memperakui dan mengiktiraf ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB), beroperasi mesra alam dan
menghasilkan produk berkualiti tinggi, selamat dan sesuai untuk dimakan.