8/4/2009 — Berita Harian
Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER-SEZ) dijangka mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan baru dan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang 2020, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, SEZ mempunyai impak ekonomi amat besar, termasuk keupayaan menyumbang masing-masing 50 dan 80 peratus kepada peluang pekerjaan dan hasil keluaran ekonomi untuk keseluruhan ECER walaupun saiznya hanya enam peratus daripada keseluruhan keluasan wilayah ekonomi itu.
Katanya, empat zon bebas diwujudkan di SEZ untuk menggalakkan dan menumpukan rantaian antara kelompok industri, iaitu kelompok Pembuatan Bernilai Tinggi, Industri Asas Tani; Gas dan Petrokimia; Pelancongan/Hartanah; Ilmu/Pendidikan dan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) serta Logistik.
ECER-SEZ ialah zon ekonomi khas pertama di Malaysia yang bersepadu dari Kertih, Terengganu ke Pekan, Pahang.
“Projek di luar kawasan SEZ akan terus berjalan. Oleh sebab ECER luas, ia memerlukan kawasan tumpuan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SEZ dan projek Agropolitan ECER di Runchang, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Bagi tempoh 2007 hingga sekarang, sejumlah RM24 bilion nilai pelaburan asing dan tempatan diperoleh daripada pelabur swasta untuk projek di ECER dalam kelompok pelancongan, pembuatan, petrokimia dan pertanian.
Perdana Menteri berkata, pembangunan ECER akan terus mendapat komitmen kerajaan hingga ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sehingga 2020 melalui 189 projek bernilai RM112 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat.
Sehubungan itu, Najib berkata, Pelabuhan Kuantan akan dinaikkan taraf dan diperluaskan untuk mengendalikan lebih 30 juta tan muatan kargo setahun menjelang 2020 berbanding 16.8 juta tan sekarang.
Untuk merangsang pertumbuhan pesat SEZ, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menarik pelaburan dan terus berdaya saing.
Najib berkata, projek Agropolitan ECER yang dilancar adalah sebuah pembangunan bersepadu yang bermatlamat utama membasmi kemiskinan tegar pada akhir 2010, melalui penyertaan golongan miskin dalam sektor perladangan dan bukan perladangan.
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my