8/4/2009 — Sinar Harian
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited dalam meneruskan pelan pembangunan wilayah di negara ini.
Beliau berkata, pelan pembangunan wilayah yang melibatkan tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga RMK-11 itu akan diteruskan sehingga tahun 2020.
“Dalam RMK-9 ini sendiri, kerajaan memperuntukkan hampir RM2 bilion sebagai tambahan untuk menjalankan projek yang sesuai,” katanya ketika berucap merasmikan Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) dan Agropolitan Pekan di Runchang di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, pembangunan wilayah bukan konsep baru malah pernah diamalkan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Razak Hussein sebelum dimodenkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Saya ingin melahirkan apresiasi, sebagai pengganti kepada Tun Abdullah di atas konsep pembangunan koridor yang dikecapi pada masa ini,” katanya.
Najib berkata, konsep tersebut memberi impak besar khususnya dalam penjanaan kekayaan yang dapat dirasai secara seimbang dan menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat sejajar pembangunan negara.
“Konsep pembangunan wilayah bukan satu gagasan yang memberi tumpuan kepada pelabur sahaja tapi konsep ini berteraskan rakyat, rakyat didahulukan, daripada projek besar-besaran sampai rakyat biasa akan dapat faedah,” katanya.
Katanya, projek Agropolitan sebagai contoh mampu menghapuskan kemiskinan tegar yang melibatkan 45,000 isi rumah seluruh negara menjelang akhir tahun depan.
“Saya tertarik dengan Agropolitan ini kerana selain menanam kelapa sawit, mereka juga boleh menternak kambing biri-biri. Jika bekerja separuh hari, dalam sebulan boleh dapat RM500, dan jika bekerja sepenuh hari boleh mencapai RM1,000 sebulan.,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, ECER SEZ dijangka mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan baharu dan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang 2020. – Bernama