8/17/2009 — Berita Harian
Debaran peserta pertandingan memancing bertaraf antarabangsa – Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2009, semakin kencang apabila mereka mengesahkan penyertaan di lobi Serai D’Lanjut Beach & Gold Resort di sini, hari ini.
Sekurang-kurangnya 120 pemancing daripada 40 pasukan menyahut cabaran RPBIC bagi tahun keenam ini walaupun ada kebimbangan berikutan jangkitan selesema H1N1 kerana acara itu turut membabitkan peserta dari negara yang dilanda wabak berkenaan seperti Singapura, Thailand, Australia, China dan Filipina.
Pastinya, pertandingan kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila dijangka turut disertai Pasukan TM 1 diketuai Tengku Mahkota Pahang, Tuanku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama satu lagi pasukan – TM 2.
RPBIC adalah satu-satunya acara bagi siri kelayakan menyertai IGFA Offshore World Championship di Mexcio yang bertaraf ‘Diraja (Royal)’ selain antara pertandingan memancing antarabangsa yang melaksanakan konsep ‘Tangkap dan Lepas’ sekali gus berstatus mesra alam.
Pertandingan ini dianjurkan Unit Joran, Berita Harian dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA).
Ia disokong oleh PNB Commercial Sdn Bhd selaku penaja utama.
Acara itu turut mendapat sokongan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mengangkatnya sebagai antara acara persada seperti dipaparkan dalam Naskhah Imbasan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
RPBIC 2009 turut ditaja oleh The Season Tackle Sdn Bhd (TST), Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL-Coleman), A Z Marine, Outworld, Petani, Columbia Sportswear Company, UK Ice Blendz dan Mawar Kite manakala Serai D’Lanjut selaku hotel rasmi pertandingan.
Sejumlah RM47,800 ditawarkan kepada pemenang pertandingan membabitkan habuan RM15,000 untuk juara Kategori Berpasukan, kedua RM6,000 dan ketiga RM3,300. Empat pasukan masing-masing memenangi RM900 bagi hadiah sagu hati.
Bagi Kategori Individu, sebanyak RM10,000 ditawarkan kepada juara, RM5,000 (kedua) dan RM2,500 (ketiga) serta RM600 sagu hati untuk empat individu.
Selepas sesi pendaftaran, urus setia akan memberi taklimat kepada kumpulan tekong bot, marsyal dan peserta dalam tiga sesi berasingan.
Esok, peserta berkumpul di Jeti Kampung Pantai Bernas seawal jam 7 pagi sebelum majlis pelancaran tepat jam 8 pagi yang dijadual disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.
Peserta akan memancing di kawasan pada jarak 30 hingga 40 batu nautika di perairan Kuala Rompin dan balik selewat-lewatnya jam 5 petang. Pada Ahad, peserta sekali lagi akan melakukan pemburuan mulai jam 8 pagi dan tamat tepat jam 4 petang disusuli dengan majlis penutup jam 7.30 malam.
Tumpuan bot peserta dijangka di Karang DO, Karang Cha, Karang Merchong dan puluhan karang lain pada jarak 10 hingga 35 batu nautika dari Kuala Rompin.