8/14/2009 — Joran, Berita Harian
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) muncul untuk menyokong penganjuran Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2009 dengan memperuntukkan RM20,000 bagi membantu menjayakan acara berkenaan.
ECERDC adalah institusi dipertanggungjawabkan untuk turut terbabit memaju dan membangunkan wilayah Pantai Timur sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang baru serta dinamik di Semenanjung menjelang 2020.
Institusi itu membahagikan segmen pembangunan di wilayah berkenaan kepada sektor pelancongan; sektor minyak, gas dan petrokimia; sektor pembuatan; sektor pertanian; sektor pendidikan; serta sektor sektor inisiatif pengupaya.
Melalui sektor itu, ECERDC turut mengangkat beberapa acara baru untuk dimasukkan dalam senarai Acara Persada termasuk RPBIC kerana berpotensi besar menarik pelancong antarabangsa di samping empat acara lain.
Perkembangan ini sangat membanggakan penganjuran RPBIC yang setakat ini disertai pemancing kelas satu dari Singapura, Australia, United Kingdom, Filipina, Indonesia, New Zealand, Afrika Selatan, Zimbabwe, Perancis, Jerman, China, Jepun, Korea, Kanada, Hong Kong dan Sweden selain tuan rumah – Malaysia.
Sejak RPBIC dianjurkan pada 2004 hingga 2007, seramai 492 pemancing dari luar negara dan tempatan mengambil bahagian dengan menyaksikan sebanyak 161 bot laju digunakan.
Empat acara baru yang turut disenaraikan dalam Acara Persada ECERDC ialah International Terengganu Island Boat Race; International Kota Bharu Cultural Fest; Red Bull Air Race World Series; dan Nenggiri-Stong International Adventure Sports Competition.
Justeru, ECERDC turut menghantar sepasukan tiga pemancing bagi mengambil bahagian selain pegawai untuk menyaksikan sendiri penganjuran acara itu mulai hari ini hingga Ahad dengan tujuan memperbaiki penganjuran serta mengemukakan cadangan bagi meningkatkan lagi mutu RPBIC tahun depan.
RPBIC dianjurkan oleh Unit Joran Berita Harian dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Pahang serta Lembaga Pembangunan Tioman (TDA).
PNB Commercial Sdn Bhd adalah penaja utama pertandingan memancing tiga hri itu dengan menghulurkan RM100,000.
Sementara itu, syarikat pengedar produk rekreasi, sukan lasak serta perkhemahan, Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL Coleman), mengekalkan komitmen untuk menaja pelbagai produk jenama Coleman bernilai RM10,000 untuk pemenang.
Antara produk yang ditaja ialah bot getah berharga RM1,000 selain kotak sejuk, khemah, lampu, bekas minuman dan beg tidur untuk pemenang serta sesi cabutan bertuah.
Tajaan diserahkan Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan, kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali di Balai Berita, Rabu lalu.
Hadir sama, Penolong Pengurus Besar (Jualan dan Operasi) UFL, Ahmad Termizi Mahmud dan Penolong Pengarang Joran, Ibrahim Muhamad.
Radha berkata: “UFL Coleman sentiasa bekerja dengan Berita Harian sejak 1997, apabila menaja penganjuran GP Joran. Tajaan ini adalah kesinambungan kerjasama berkenaan dan saya amat komited memandangkan RPBIC 2009 adalah program antarabangsa dan pesertanya datangnya dari luar negara.
“Ia secara tidak langsung meningkatkan lagi imej UFL Coleman dan Berita Harian sendiri. Pada masa yang sama merancakkan lagi industri agro pelancongan Malaysia. Tertarik dengan penganjuran RPBIC 2009, saya turut secara peribadi menaja wang tunai RM2,000 bagi penganjurannya.”
Sementara itu, kemeriahan RPBIC tahun ini turut dicetuskan syarikat pengedar perkakasan rekreasi dan sukan lasak – Outworld, yang menaja ‘dry bag’ untuk pemenang. Tajaan diserahkan Pengarahnya, Haslil Razif, kepada Ketua Jabatan Tadbir Urus NSTP, Mohd Hisham Md Shazli.
Sementara itu, A Z Marine dari Muar, Johor turut mengulangi komitmen memeriahkan RPBIC 2009 dengan menaja sebuah bot tiub (inflatable boat) berharga RM4,000 untuk dijadikan hadiah utama cabutan bertuah pada majlis penutup.
Tajaan diserahkan Pengarah Urusannya, Md Zaidi Khamis kepada Pengarang Joran/Projek, Kamal Ahmad, di Anjung Liku, Balai Berita, Selasa lalu. Tahun lalu, syarikat itu menaja sebuah enjin Mercury 3.3HP untuk acara yang sama.
Sokongan padu A Z Marine turut dibuktikan dengan penyertaan Team A Z Marine dalam pertandingan berkenaan yang diketuai sendiri oleh Zaidi dan dianggotai Abdul Han Ramin serta A Jalil Aziz.
Zaidi turut membawa Team D’18 dari Batu Pahat diketuai Mohamad Osman dan dianggotai Saifulizan Mohd Said serta Sharif Kamis.
Penaja lain ialah The Season Tackle Sdn Bhd (TST), Syarikat Zulkifli Bamadhaj (Petani, Columbia Sportswear Company, Mawar Kite, UK Ice Blendz dan Serai D’Lanjut Beach & Golf Resort selaku hotel rasmi.