ECER Perkenal Program Pembangunan Modal Insan

8/12/2009 — BERNAMA
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah memperkenalkan program pembangunan latihan dan kemahiran bagi meningkatkan pembangunan modal insan.
Program Pembangunan Latihan Kemahiran untuk Pertumbuhan Koridor itu akan membantu para pekerja dan yang telah diberhentikan kerja untuk mempelajari kemahiran dan kebolehan baharu yang bakal membantu mereka mencari pekerjaan baharu atau mengekalkan pekerjaan sedia ada dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetatif.
Majlis Pembangunan ECER menyasar untuk melatih 4,000 tenaga kerja di ECER menjelang akhir tahun 2009.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER Datuk Jebasingam Issace John berkata inisiatif ini sejajar dengan pembangunan sosio ekonomi ECER dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di wilayah ini.
“Dana Program Latihan ini yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM7 bilion akan membantu para pekerja di ECER meneroka kemahiran keusahawanan. Program ini akan memenuhi keperluan tenaga kerja separa mahir dan mahir dalam pelbagai kelompok ekonomi di ECER,” katanya dalam satu kenyataan.
Program latihan ini merangkumi tiga inisiatif utama; program pembangunan kemahiran, penempatan para graduan dan latihan bagi pekerja kontrak dan separuh masa serta pembangunan keusahawanan.
Latihan akan menumpukan kepada lima kelompok utama dalam ECER termasuk pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan.
Dengan 4,400 para graduan dijangka bakal memasuki dunia pekerjaan di ECER menjelang 2009, program latihan ini membolehkan peluang pekerjaan baharu diwujudkan melalui latihan keusahawanan di kalangan para graduan.