Abdullah Lancar Majlis Pembangunan ECER Di Terengganu Sabtu Ini

KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi akan melancarkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
sempena lawatan sehari ke Terengganu, Sabtu ini.
Sekretariat ECER dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata anggota-anggota majlis
pembangunan itu terdiri daripada Perdana Menteri sebagai pengerusi, serta Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri besar Kelantan, Terengganu,
Pahang dan Johor.
Pada pelancaran majlis di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, sebuah pusat sehenti
akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan dan projek-projek pembangunan yang
dikenal pasti dalam pelan induk ECER berjalan lancar.
Selain itu, Perdana Menteri akan turut melantik dua menteri sebagai wakil perkhidmatan
awam serta dua anggota daripada sektor swasta sebagai anggota majlis pembangunan
berkenaan.
Menurut kenyataan itu juga, beberapa insentif menarik akan diperkenalkan bagi
meningkatkan penglibatan para pelabur tempatan dan asing dalam projek pembangunan
berkenaan sempena pelancaran majlis pembangunan itu.
Insentif-insentif itu dijangka bergantung kepada lokasi, dengan tumpuan diberikan kepada
pembangunan kelompok industri tersendiri di dalam ECER, untuk meningkatkan produktiviti
dan membantu syarikat bersaing pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa.
Setiap kelompok industri iaitu pelancongan, pertanian, pembuatan, minyak dan gas serta
pendidikan akan mempunyai insentif masing-masing yang direka khas untuk memenuhi
keperluan ECER itu.
Majlis Pembangunan ECER akan memikul tanggungjawab meransang, mempromosi dan
mempercepatkan pertumbuhan ECER dalam keadaan yang seimbang dan mampan. Ia juga
akan membangunkan wilayah tersebut menjadi sebuah rantau ekonomi bertaraf dunia dan
destinasi pilihan untuk pelaburan, pekerjaan dan tempat tinggal.
ECER yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas, merupakan salah satu daripada lima
koridor ekonomi yang diperkenalkan kerajaan pusat bagi menghapuskan kemiskinan dan
meningkatkan aktiviti ekonomi di dalam ECER bagi membantu mengimbangi pembangunan
di antara wilayah-wilayah dalam negara.
Pelan pembangunan ekonomi itu yang meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah
Mersing di Johor akan menumpukan kepada sektor-sektor khas iaitu pelancongan, minyak,
gas dan petrokimia serta pembuatan, pertanian dan pendidikan. — BERNAMA