KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Majuikan Sdn Bhd, milik penuh Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), membuka ladang ternak mesra alam sekitar
bernilai RM10 juta, untuk membiakkan anak ikan.
Sekretariat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam satu kenyataan berkata
ladang ternak seluas lapan hektar itu merupakan usaha sama antara Majuikan
dengan Mytrans Holding Sdn Bhd, akan menternak sehingga 500 tan metrik ikan
setahun.
Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad berkata, MyIkan, ladang ternak ikan
mesra alam sekitar yang menggunakan teknologi dari Norway itu akan dibangunkan
dalam dua peringkat.
“Fasa sekarang ialah pembiakan ikan manakala fasa kedua akan menyaksikan
pembangunan pusat penetasan dan pusat pemprosesan selepas penuaian.
“MyIkan akan beroperasi penuh pada akhir tahun dengan tuaian pertama dijangka
pada Jun 2009,” katanya.
Beliau berkata terdapat permintaan pesat daripada sektor akuakultur.
“MyIkan juga membentuk hubungan bernilai dalam rantaian bekalan ikan dan
pembeli dari Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China,” katanya.
Mustafa berkata penggunaan perkapita ikan Malaysia pada 49 kilogram ketika ini
merupakan antara yang tertinggi di dunia.
Beliau berkata berdasarkan anggaran Dasar Pertanian Nasional, permintaan ikan
negara dijangka berkembang kepada 1.5 juta tan metrik menjelang 2010, dengan
penggunaan perkapita 56 kilogram.
— BERNAMA