Bank Pertanian bantu penanam kenaf

KUALA LUMPUR 14 Mac – Bank Pertanian Malaysia membayangkan
tiada masalah pembiayaan bagi penanam yang memilih menggantikan
tembakau dengan ladang kenaf di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER).
Bank itu, yang dipertanggungjawabkan menyalurkan skim pinjaman
tembakau, menyatakan pembiayaan alternatif boleh ditawarkan atau
aturan boleh dibuat bagi mengubah skim tembakau sekarang kepada
ladang kenaf.
“Inisiatif ini adalah sebahagian dari usaha mengukuhkan kehadiran dan
kedudukan bank dalam komuniti perladangan, terutamanya mereka
yang terlibat dalam projek di bawah ECER,” kata Pengurus Besarnya,
Martini Osman dalam satu kenyataan hari ini.
Penanaman kenaf diberi kedudukan utama kerana Kawasan
Perdagangan Bebas ASEAN yang dikuatkuasakan pada 2010 akan
menyaksikan Malaysia mengurangkan duti import tembakau,
menjadikan penanaman tembakau kurang kompetitif di sini, demikian
menurut sekretariat ECER.
Penanaman tembakau telah menjadi sumber pendapatan utama bagi
kebanyakan isi rumah di pedalaman Kelantan dan Terengganu untuk
sekian lama, katanya.
Di bawah ECER, keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira
10,000 hektar. Ia dijangka meningkatkan pendapatan 10,000 pekebun
kecil tembakau dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.
Pokok kenaf boleh diproses menjadi kertas, pakaian, bahan binaan,
aksesori kereta dan bahan bakar bio.
Biji benih kenaf menghasilkan minyak sayuran yang boleh dimakan dan
kaya antibahan pengoksidaan omega. Minyak berkenaan boleh juga
digunakan untuk kosmetik, minyak pelincir industri dan bahan bakar bio.Lembaga Tembakau Negara (LTN) menggalakkan para penanam
menanam tanaman kenaf yang mempunyai potensi besar manakala
Institut Penyelidikan Veterinar, Institut Pembangunan Penyelidikan
Pertanian dan Universiti Putra Malaysia telah menubuhkan satu
kumpulan teknikal kenaf.
Pengerusi LTN, Datuk Mohd Zain Ismail berkata, peruntukan sebanyak
RM68 juta tahun lepas membantu mengurangkan bebanan penanam
tembakau disebabkan pinjaman.
Di peringkat global, kenaf mencapai harga antara RM700 dan RM1,200
setan, dengan 95 peratus daripada pengeluaran kenaf global yang
berjumlah tiga juta tan setahun disumbangkan China, Bangladesh,
Thailand dan Myanmar.