Bank Pertanian biaya projek kenaf

BANK Pertanian Malaysia menyediakan pembiayaan kepada petani
yang bercadang beralih daripada tanaman tembakau kepada kenaf di
bawah inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER).
Pengurus Besarnya, Martini Osman, berkata bank itu yang diberikan
mandat menyalurkan skim pinjaman tembakau bersedia menawarkan
pembiayaan alternatif bagi membantu petani menukar skim tembakau
sekarang kepada perladangan kenaf.
“Inisiatif ini adalah sebahagian dari usaha mengukuhkan kehadiran dan
kedudukan Bank Pertanian dalam komuniti perladangan, terutama
mereka yang terbabit dalam projek di bawah ECER,” katanya dalam
kenyataan yang dikeluarkan sekretariat ECER.
Penanaman kenaf diberi keutamaan kerana apabila Kawasan
Perdagangan Bebas Asean berkuat kuasa pada 2010, Malaysia akan
mengurangkan duti import tembakau, menjadikan penanaman tembakau
kurang berdaya saing.
Penanaman tembakau telah menjadi sumber pendapatan utama bagi
kebanyakan isi rumah di pedalaman Kelantan dan Terengganu.
Di bawah ECER, keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira
10,000 hektar. Ia dijangka meningkatkan pendapatan 10,000 pekebun
kecil tembakau dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.
Pokok kenaf boleh diproses menjadi kertas, pakaian, bahan binaan,
aksesori kereta dan biofuel.
Biji benih kenaf menghasilkan minyak sayuran yang boleh dimakan dan
kaya bahan anti pengoksidaan omega.
Minyak berkenaan boleh juga digunakan untuk kosmetik, minyak pelincir
industri dan biofuel.
Pada peringkat global, kenaf mencapai harga antara RM700 dan
RM1,200 setan dengan 95 peratus daripada pengeluaran kenaf global yang berjumlah tiga juta tan setahun disumbangkan China, Bangladesh,
Thailand dan Myanmar.
Lembaga Tembakau Negara (LTN) menggalakkan petani menanam
kenaf yang mempunyai potensi besar manakala Institut Penyelidikan
Veterinar, Institut Pembangunan Penyelidikan Pertanian dan Universiti
Putra Malaysia telah menubuhkan satu kumpulan teknikal kenaf.
Kerajaan sudah memperuntukkan RM2 juta bagi tujuan penyelidikan
kenaf di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7)(1996 hingga
2000) dan RM3.2 juta untuk tujuan yang sama di bawah RMK-8 (2001-
2005).
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tembakau Kebangsaan, Datuk
Mohd Zain Ismail, berkata petani tembakau digalakkan menanam kenaf
kerana ia menyediakan peluang perniagaan yang memberangsangkan.
Tahun lalu, beliau berkata, pihaknya memperuntukkan RM68 juta bagi
membantu petani tembakau mengurangkan bebanan pinjaman.