Berita Harian, Bisnes; April 5, 2008
BANK Pertanian Malaysia merancang melancarkan beberapa produk dan
perkhidmatan baru untuk sektor perladangan Jun ini, khususnya bagi mereka
yang terbabit dalam projek di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pengurus Besarnya, Martini Osman, berkata inisiatif itu adalah sebahagian
usaha bank itu untuk meningkatkan penyertaan dan pendedahannya kepada
sektor perladangan.
Beliau berkata, Bank Pertanian sentiasa menyokong pembangunan sektor
pertanian dan industri berasaskan agro dengan menyediakan pembiayaan bagi
seluruh rantaian sektor itu.
“Beberapa pinjaman dan perkhidmatan baru sedang dirangka dan bakal
dilancarkan dalam suku kedua tahun ini bagi memenuhi keperluan peladang
yang semakin bertambah,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan
sekretariat ECER di Kuala Lumpur, semalam.
Martini berkata, Bank Pertanian sedang mengkaji semula dasar pinjaman, sistem
penyampaian dan menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
bagi menyokong inisiatifnya itu, di samping memudahkan akses kepada
pinjamannya.
Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi usahawan pertanian di negara ini
ialah kekurangan pembiayaan kerana sering terikat dengan cagaran.
Bagaimanapun, katanya, bagi Bank Pertanian, pertimbangan utama bagi
kelulusan sesuatu pinjaman ialah rekod kredit peminjaman dan keupayaan
membayar balik dan bukannya faktor ketiadaan cagaran.
“Kajian semula dasar pinjaman kami turut merangkumi melonggarkan keperluan
cagaran, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Martini menegaskan, program pinjaman Bank Pertanian sedia ada mampu
memenuhi aktiviti pertanian utama yang dikenal pasti menerusi inisiatif ECER.
Bagaimanapun katanya, mengikut entiti korporat yang baru, Bank Pertanian
mengembangkan skop pembiayaannya, memperkenalkan produk pinjaman baru
dan mempakej semula kemudahan sedia ada bagi menepati keperluan
pembiayaan sektor pertanian di negeri dalam ECER. Menerusi entiti korporat baru itu juga, katanya, Bank Pertanian berada dalam
kedudukan lebih baik untuk menyokong pengkomersialan hasil kegiatan
penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mungkin terbabit dalam modal
teroka.
“Bank Pertanian juga komited dalam membangunkan usahawan pertanian dari
segi kemahiran, pengetahuan teknikal dan keupayaan pengurusan,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2006, Bank Pertanian membangunkan 4,297 usahawan
baru dalam pelbagai bidang sektor pertanian.
Martini berkata, berdasarkan prestasi semasa, bank itu mensasarkan untuk
membangunkan 10,000 usahawan Bumiputera baru mengikut Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9) menjelang 2010.