BPMB rancang lancar produk baru di ECER

Utusan Malaysia,Bisnes; April 5, 2008
KUALA LUMPUR 4 April – Bank Pertanian Malaysia Bhd. (BPMB) akan
melancarkan beberapa produk dan perkhidmatan baru kepada komuniti
pertanian di bawah projek Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur
(ECER) pada Jun ini.
Pengurus Besar BPMB, Martini Osman (gambar) berkata, inisiatif tersebut
adalah sebahagian daripada usaha BPMB bagi menunjukkan sokongan kepada
masyarakat pertanian.
”Kami selalu menyokong pembangunan pertanian dan industri berteraskan agro
dengan menyediakan pinjaman untuk sektor berkenaan.
”Beberapa produk pinjaman dan perkhidmatan baru dalam perancangan dan ia
akan dilaksanakan menjelang suku kedua tahun ini bagi memenuhi keperluan
sektor pertanian terutama di bawah ECER,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Martini, bagi memudahkan proses pinjaman dibuat, BPMB akan
mengkaji dan menaik taraf polisi pinjaman, sistem penyampaian serta sistem
teknologi maklumat mereka.
”Proses mengkaji semula polisi pinjaman akan melibatkan kelonggaran syarat
cagaran terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
BPMB di bawah entiti korporat baru telah meletakkan sasaran membangunkan
10,000 usahawan bumiputera baru dalam sektor pertanian di bawah Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9) menjelang 2010, jelasnya.
”Selain itu, BPMB juga kini berada pada kedudukan sesuai bagi
mengkomersialkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta terlibat dalam
penyediaan modal teroka,” tambahnya.