MERSING: Hari kedua Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 yang bermula pagi ini, akan menyaksikan Sultan Ibrahim Iskandar menyelam ke dasar laut Pulau Mensirip bagi merasmikan Peti Pos Dasar Laut Diraja pertama di Malaysia.
Baginda dijangka tiba di Pulau Mensirip, kira-kira jam 9 pagi bagi menyempurnakan gimik pelancaran meletakkan logo Sultan Johor di atas peti surat berkenaan.
Peti Pos Dasar Laut Diraja itu turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Peti Pos Dasar Laut Diraja yang pertama dipasang di negara ini.
Sultan Ibrahim kemudian akan berangkat ke Pulau Pemanggil bagi menyempurnakan perasmian Projek Kolaborasi Peletakan Tukun Rekreasi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Zon Memancing.
Rombongan seterusnya berangkat ke Pulau Aur untuk merasmikan Pos Kawalan Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) dan pelancaran sumber air selain menyampaikan lesen penyelam laut terbuka kepada lima penduduk pulau berkenaan.
Kembara Jelajah Pulau kemudian diteruskan ke Pulau Sibu bagi pelancaran Monumen Santuari Dugong Johor, kira-kira jam 1 petang ini.
Hari terakhir Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 hari ini dijangka berakhir pada jam 2 petang.