Bernama Online – Usahawan Terengganu Catat RM483,000 Hasil Jualan Sempena Beautiful Terengganu

HULU TERENGGANU, 18 Ogos (Bernama) — Lebih RM483,000 hasil jualan berjaya dicatatkan 30 usahawan Terengganu sempena penganjuran Beautiful Terengganu yang berlangsung empat hari, di Singapura sejak 13 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Nawi Mohamad berkata penganjuran Beautiful Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, nyata memberi impak positif dan dapat membantu usahawan memasarkan produk.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengutip hasil jualan lebih RM483,000 dalam masa empat hari penganjuran program tersebut membabitkan seramai 19 orang usahawan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan, sembilan usahawan yang dibimbing Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (Ecerdc) dan dua usahawan bimbingan Jabatan Pertanian.

“Melalui Beautiful Terengganu, usahawan berpeluang membawa dan memperkenalkan produk masing-masing dan produk yang beridentitikan negeri ini seperti nasi dagang, keropok lekor dan produk kraftangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Dialog Usahawan Terengganu 2016 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nawi berkata pihaknya dengan kerjasama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu akan turun padang dan mengadakan perjumpaan dengan Rakan KPDNKK bagi pengawalan harga barangan menjelang Aidiladha nanti.

“Memang kita sedia maklum, setiap kali musim raya, permintaan terhadap bahan mentah memang agak tinggi dan kita bersama KPDNKK akan memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan melebihi harga syiling yang ditetapkan.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan rakan KPDNKK yang kini berjumlah 2,471 orang, terdiri daripada pengguna, ahli koperasi, rakan media dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebelum Aidiladha ini untuk kita gerakkan mereka membantu kita.

“Rakan KPDNKK ini boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kita untuk sama-sama pastikan peniaga tidak mudah mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan mereka boleh membuat laporan terus kepada KPDNKK sekiranya ada peniaga yang berbuat demikian,” katanya.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1274391